Isnin, 2 April 2012

'Video murtad' diperkecil, Hasan Ali tempelak Dr Rani

Presiden NGO Jalur Tiga (JATI) Datuk Hasan Ali hari ini menempelak Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman kerana memperkecil-kecilkan pendedahan video mengenai dakwaan kristianisasi ke atas orang Islam yang dijanjikannya hari ini.

Katanya, Abdul Rani perlu digugurkan daripada jawatan berkenaan, ekoran kenyataan ADUN Meru itu yang dilaporkan tidak menggalakkan ahli atau wakil parti itu untuk mengikuti pendedahan video berkenaan.

Dr Abdul Rani dilaporkan menyeru anggota PAS supaya menumpukan kepada perkara lebih besar isu pengundi hantu dan rasuah.

Mengulas kenyataan itu, Hasan menunjukkan rasa terkejutnya apabila Dr Abdul Rani membandingkan isu "orang masuk Kristian" seperti itu.

"Saya berharap Dr Abdul Rani balik kepada akal budi beliau, balik kepada akal murni, akal yang mencambah akidah Islamiah, akal yang menjadi pokok kepada PAS iaitu parti yang berpegang kepada akidah, syariah dan akhlak," kata Hasan.

"Inilah jenis pemimpin yang kamu (PAS) ada. Kamu patut tukar pemimpin jenis ini supaya PAS kembali ke landasan asal," katanya yang menambah, orang seperti Dr Abdul Rani itulah yang dimaksudkannya sebagai parasit dalam PAS.

Ditanya sama ada beliau akan menyerahkan rakaman video itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor, Hasan yang berkata beliau akan berunding dengan jabatan berkenaan sebelum berbuat demikian.

"Tidak mudah untuk diserahkan dan tidak sesukar untuk diterbitkan untuk tujuan itu (kepada) JAIS, MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) atau pihak Istana," katanya lagi dalam sidang media sebelum menayangkan video berkenaan di kediamannya hari ini.

Ditanya lanjut, Hasan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor berkata beliau tidak mempunyai bukti lain selain daripada video yang didedahkan hari ini.

Dua versi video, masing-masing sepanjang 42 minit dan 16 minit yang didedahkan itu antara lainnya menunjukkan temubual dengan sepasang suami isteri yang mendakwa pernah dikristiankan oleh sekumpulan mubaligh Australia.

Hasan yang juga bekas exco hal ehwal agama Selangor mendakwa, bukan mudah baginya untuk meyakinkan individu berkenaan untuk tampil memberi pengakuan.

Sehubungan itu, Hasan mencadangkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim supaya menyediakan peruntukan khusus kepada unit tertentu untuk mengadakan program untuk mencegah kegiatan memurtadkan orang Islam.

Beliau juga mencadangkan supaya menteri besar bekerjasama dengan NGO Islam seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), termasuk menggunakan kuasa sebagai exco agama untuk menggunakan masjid di peringkat negeri dan daerah bagi tujuan pencegahan gejala itu.

Tiada ulasan: