Isnin, 23 April 2012

Video anak Adun terlibat pindah alamat, bukti penipuan undi- Fuziah

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Pendedahan video anak seorang Adun Umno di Melaka  terlibat dalam memindahkan alamat pengundi, membuktikan penipuan dan komplot jahat  Umno-Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pendedahan ini mengesahkan dakwaan kita selama ini bahawa wujud usaha tersusun Umno BN  menukar alamat pengundi dan merasuah mereka untuk menang pilihan raya,” kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.

“Ia jelas merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya dan cubaan membeli undi,” katanya.

Video itu mendedahkan aktiviti Umno Melaka merasuah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) supaya menukar alamat tempat pengundian mereka, bagi memberi kemenangan kepada BN.

Rakaman itu turut menunjukkan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlibat dalam aktiviti yang dijalankan sebelum Mac lalu di empat universiti awam dan swasta di Melaka.

Video tiga sedutan yang setiap satunya kira-kira lima minit itu dirakam secara tersembunyi dan kini tersebar di internet.

Dalam video berkenaan, mahasiswa yang bersedia menukar alamat dijamin akan ditukar ke alamat asal selepas  PRU serta kos ditanggung dengan syarat mengundi calon Umno BN.

“Kita yakin ini adalah tindakan terdesak Umno BN untuk mempertahan Melaka dari ditawan Pakatan Rakyat pada PRU kali ini dan Kita menyeru setiap pengundi seluruh negara segera menyemak nama masing-masing.

“Jika anda mendapati ada sesuatu yang tidak kena mengenai status anda, cepat-cepat membuat laporan atau menemui wakil Pakatan Rakyat berhampiran,” katanya lagi.

Tiada ulasan: