Khamis, 5 April 2012

Vale: Nizar cabar Zambry dedah semua dokumen

Muhammad Faeez,


IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir perlu mendedahkan semua dokumen tentang projek pusat pengagihan bijih besi Vale International kepada umum.

Ketua Pembangkang Dun Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Zambry tidak boleh memilih dan mendedahkan satu surat sahaja tetapi perlulah mengemukakan semua surat-surat termasuklah surat kelulusan projek oleh Kerajaan BN.

“Zambry perlu dedahkan semua dokumen termasuklah minit-minit mesyuarat, dan perjanjian antara kerajaan dan pihak Vale,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.

Menurutnya, surat yang didedahkan oleh Zambry semalam telah menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu akan mempertimbangkan cadangan projek di teluk Rubiah jika ianya telah mematuhi syarat oleh Ministry of International Trade and Industry (MITI) dan Pejabat Tanah dan Galian.

“Kita (Pakatan Rakyat) memberikan kebebasan kepada pelabur serta kita raikan mereka dan kita akan membuat keputusan setelah kita mendapat laporan-laporan daripada agensi-agensi kerajaan termasuklah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ministry of International Trade and Industry (MITI), Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pertahanan, dan Environmental impact Assessment(EIA),” ujarnya.

Nizar menjelaskan, surat yang didedahkan oleh Zambry semalam hanyalah surat meraikan pelabur untuk melabur dan bukannya surat kelulusan.

“Saya cabar Dr Zambry tunjukkan kepada rakyat semua surat yang Vale terima untuk menjalankan projek itu.

“Selepas semua dokumen didedahkan barulah rakyat tahu siapa sebenarnya berbohong,” tegasnya.

Katanya, Pihak Vale sudah berjumpa dengan kerajaan BN sebelum Pakatan Rakyat memerintah dan inginkan projek tersebut dijalankan di Teluk Rubiah.

“Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan, Vale berjumpa dengan kami dan mengemukakan dua cadangan tempat iaitu di Bagan Datoh dan Sagari, tetapi bukan Teluk Rubiah,” jelasnya.

Semalam, Menteri Besar, Dr Zambry telah mendedahkan surat yang ditandatangani oleh Menteri Besar ketika itu, Nizar tentang sokongan terhadap projek Vale dan kesahihan kandungan surat berkenaan.

Daripada surat yang dikeluarkan itu, ada dinyatakan bahawa Nizar selaku Menteri Besar ketika itu mengutus surat sokongan kepada Pengarah Pemasaran Komersial Vale, Mr Renato Neves.

Nizar mengakui kesahihannya surat itu namun ianya hanya surat sokongan dan bukannya surat kelulusan projek.

Beliau sangat seronok dan berterima kasih kepada Dr Zambry kerana mendedahkan surat sokongan terhadap projek tersebut kerana ianya telah menggambarkan hubungan baik antara Kerajaan Pakatan Rakyat kepada pelabur.

Sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini bersidang untuk hari ketiga dan akan berakhir pada hari Isnin minggu hadapan.

Tiada ulasan: