Rabu, 4 April 2012

Transformasi ekonomi masih gagal bantu Melayu

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR:
Usahawan Bumiputera didakwa masih terpinggir sehinggakan mereka gagal bersaing walaupun pelbagai dasar dilaksanakan termasuklah Program Transformasi Ekonomi.

Demikian tegas Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) dalam soalan tambahannya ketika sesi soal jawab pagi tadi.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan apakah punca sebenar usahawan Melayu dilihat gagal bersaing dalam perniagaan mereka.

Sedangkan, katanya, dasar menggalakkan keusahawanan di kalangan Bumiputera pada awalnya bermula daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Kini kerajaan sudah ada model ekonomi baru tetapi dalam kita berpindah dari satu dasar kepada satu dasar, orang Melayu masih dimain-mainkan seolah-olah mereka masih ketinggalan.

"Jadi kita mahu lihat apakah perlu orang Melayu keluar dari kotak perlindungan politik kepada 'premis' yang sihat," tegasnya.

Mujahid turut memuji pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang melaksanakan dasar tender terbuka, akhirnya ramai usahawan Melayu mendapat tender tersebut.

Tambahnya, ini adalah kajian menunjukkan tanpa perlindungan politik, orang Melayu masih boleh bersaing.

"Apakah perlu timbalan menteri buat satu kajian, apakah kita perlu keluar dari kepompong politik supaya orang Melayu maju dan mampu bersaing secara sihat," katanya.

Dalam soalan asal, Mujahid meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan berapa banyak agensi dan jabatan kerajaan yang mengendalikan urusan pembangunan usahawan bumiputera dan senaraikan agensi dan jabatan terbabit beserta dengan peruntukan yang disediakan.

Menjawab soalan tambahan itu, Timbalan Menteri, Datuk Jacob Dungau Sagan menafikan dakwaan kerajaan mensisihkan usahawan Bumiputera sebaliknya menegaskan kerajaan menyediakan pelbagai program dan latihan kepada Bumiputera yang mahu melibatkan diri dalam bidang usahawan.

Tiada ulasan: