Isnin, 9 April 2012

Timbalan Pengarah SKMM Didakwa Subahat Rasuah Dengan Isteri

MALAYSIA CHRONICLE

SHAH ALAM -- Seorang timbalan pengarah Bahagian Kandungan dan Penguatkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Isnin atas tuduhan bersubahat dengan perbuatan rasuah isterinya dan seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta membabitkan nilai RM250,000 pada Mac lepas.

Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Dia didakwa bersubahat dengan isterinya Suraya Hani Ahmad Zaki dan Noorshidin Mohd Noor, yang didakwa menerima bagi diri mereka suapan wang tunai RM250,000 daripada ketua pegawai operasi Syarikat Siaga Informatics Sdn Bhd Mohd Shukri Othman sebagai upah kononnya telah membantu syarikat itu memperoleh surat penganugerahan bagi tender untuk mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital di SKMM.

Noor Mohamed Khan didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Siaga Informatics di Suite 2-6, Level 6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, Subang Jaya, kira-kira 10.25 pagi pada 14 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dibaca bersama Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-- BERNAMA

Tiada ulasan: