Khamis, 5 April 2012

Tarikh PRU: Ini kena tanya Rosmah

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA TERENGGANU-Rakyat Malaysia perlu bertanya kepada Datin Seri Rosmah Mansor samada suaminya Perdana Menteri Najib Razak sudah mendapat satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya umum ke 13 (PRU13).

“Beliau berkerja bersama-sama dengan Rosmah bukan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir atau sesiapa saja dalam Umno, Najib sedang mencari satu tarikh yang boleh memberikan ganjaran 2/3 majoriti di PRU13.

"Bagi Rosmah dan Najib, perkara ini bukanlah susah kerana semua bekas perdana menteri Umno, termasuklah Pak Lah telah memenangi PRU mereka melebihi 2/3 majoriti apabila pertama kali mereka menerajui Barisan Nasional (BN).

"Ini adalah kali pertama untuk Najib dan mereka berdua adalah pendekar, sudah tentu mereka tidak mahu kehebatan politik mereka kelihatan tidak sehebat para pemimpin terdahulu yang membawa BN ke arah kemenangan,” kata Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily hari ini.

Namun, kata Mustafa , Najib sebenarnya dalam dilemma untuk memilih satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya, kerana seandainya silap, teori RAHMAN akan menjadi kenyataan.

Ini kerana, menurut teori RAHMAN, Najib adalah perdana menteri terakhir daripada Umno.

Teori RAHMAN adalah khabar angin yang sering diperkatakan orang mengenai rancangan menyusun turutan perdana menteri di Malaysia.

Teori RAHMAN merupakan singkatan kepada nama perdana menteri Malaysia yakni Tunku Abdul (R)ahman, Tun (A)bdul Razak, Tun (H)ussien Onn, Tun Dr (M)ahathir, Tun (A)bdullah dan (N)ajib.

“Najib kini sebenarnya tersepit mencari tarikh yang sesuai untuk PRU13. Terlalu awal, negeri-negeri Pakatan Rakyat mungkin tidak ikut.

"Terlalu lambat, segala faktor feel good yang dijana melalui pemberian duit seperti RM100 kepada sekolah rendah, RM200 baucar buku dan RM500 melalui BR1M akan dilupakan,” kata Mustafa.

Mustafa berkata pemberian duit bantuan yang bertujuan untuk menunjukkan bahawa pengundi telah mendapat pembelaan tidak akan bertahan lama.

“Untuk kekal perasaan feel good itu, pilihanraya tidak boleh dilengahkan. Seperti kata Mahathir, Melayu mudah lupa,” kata Mustafa dengan seloroh.

“Jadi apakah tarikh sesuai untuk Najib? Rasanya Jun hingga pertengahan Julai kerana selepas itu ialah bulan Ramadan, Hari Raya dan orang bersiap hendak pergi menunaikan haji – ia adalah tidak sesuai dan perasaan feel good dah hilang,” kata beliau.

Negeri Selangor, pusat pertembungan dalam pilihan raya ini telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan ikut serta PRU13 sekiranya ia diadakan sebelum bulan Jun.

Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang lain, selain Kelantan belum menyatakan hasrat samada akan turut mengadakan pilihanraya serentak atau tidak.

Dengan itu, Mustafa berkata Najib kini berdepan dengan satu lagi dilemma di mana beliau akan berlawan di PRU13 kemungkinan tanpa hadiah utama, Selangor yang dihajatkannya.

“Kini, PR telah menemui jumlah pengundi hantu yang besar di Selangor, modus operandi yang sama digunakan BN untuk mengalahkan PAS di Terengganu pada 2004.

"Tidak mustahil untuk negeri Pakatan Rakyat untuk menangguhkan pilihanraya ke Mei 2013 untuk membersihkan daftar pemilih terlebih dahulu.

"Najib boleh meneruskan untuk pillihanraya parlimen, dan mungkin menang tapi negeri PR masih kekal,” kata Mustafa.

Namun dengan prediksi bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya selamat di tiga negeri iaitu Pahang, Melaka dan Johor, Mustafa bertanya samada Najib berani memanggil PRU13 sekiranya negeri-negeri PR tidak ikut serta.

“Teori RAHMAN akan menjadi kenyataan sekiranya tarikh yang salah dipilih, dan Najib mungkin adalah perdana menteri terakhir daripada Umno dan ketika itu berakhirlah BN,” Mustafa memberikan amaran.

Siapakah yang Najib patut rujuk untuk mendapat tarikh PRU13.

“Saya rasa Rosmah. Beliau juga ingin kekal terus berkuasa, jadi beliau mungkin memanggil pilihanraya sekiranya rasa BN boleh menang di peringkat parlimen.

"Peranan Rosmah mungkin ialah mengumpulkan segala prediksi daripada ahli astronomi, nujum, bomoh dan feng shui untuk mendapat tarikh yang sesuai,” sindir beliau.-Harakahdaily

Tiada ulasan: