KUALA LUMPUR : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan mengadakan pertemuan dengan peguam mewakili Suaram dalam kes perbicaraan rasuah kapal selam Scorpene, dalam masa terdekat ini.
Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel berkata pertemuan itu bagi membincangkan kandungan kertas siasatan berhubung skandal pembelian Scorpene bernilai RM7.3 bilion yang berjaya diakses.
“Kita nak tahu sejauh mana perkembangan kertas siasatan itu dan nak lihat pendedahan yang dibuat. Berdasarkan kertas siasatan ini kita boleh menentukan siapa saksi yang akan dipanggil dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily.
Menurutnya, Suaram kini sedang memohon daripada kerajaan Malaysia untuk memberi kebenaran kepada peguam mereka iaitu Wiliam Bourdon dan Joseph Breham untuk masuk ke negara ini.
Bagaimanapun, Cynthia berkata sekiranya kerajaan Malaysia enggan membenarkan peguam mereka memasuki negara ini, pertemuan itu akan diadakan di negara jiran.
“Segala-galanya bergantung sama ada kerajaan menerima permohonan kami atau pun tidak. Kalau permohonan ini tidak berjaya, kami akan mengadakan pertemuan di luar negara ataupun negara jiran yang terdekat.
“Lokasi dan waktunya masih belum ditentukan tetapi apa yang pasti ia akan diadakan dalam masa seminggu dua ini,” katanya.
Pada 31 Mac lalu, KaadilanDaily melaporkan peguam yang mewakili Suaram dalam kes perbicaraan rasuah kapal Selam Scorpene di Perancis, sudah mendapatkan akses kepada kertas siasatan.
Kebenaran mengakses kertas siasatan itu diberikan Mahkamah Perancis untuk mengkaji dokumen tersebut mengikut undang-undang di negara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan