Jumaat, 27 April 2012

SPR umpama ‘pengadil’ dengan baju BN – Tian Chua

Oleh Sidiqin Omar


KUALA LUMPUR : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar wajib meletak jawatan kerana pembabitan mereka dalam Umno.

“Pengadil perlawanan bola sepak bukan sahaja wajib adil, malah perlu dilihat adil di mata penonton. Kalau mereka turun ke padang dengan jersi salah satu pasukan, itu namanya bukan pengadil.

“Maka, Pengerusi SPR, Abdul Aziz dan Timbalannya, Wan Ahmad wajib meletakkan jawatan,” kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dihubungi KeadilanDaily.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mempunyai bukti kukuh bahawa orang kuat SPR itu merupakan ahli Umno.

“SPR dah jadi parti komponen Barisan Nasional. Tak hairan kalau usaha menambah baik sistem pilihan raya selalu gagal. Ini disebabkan kepentingan mereka dalam Umno,” tegas Tian.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan Saifuddin mempunyai maklumat nombor keahlian dan cawangan Umno yang dianggotai Abdul Aziz dan Wan Ahmad.

Sementara itu, Ketua KEADILAN Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard menegaskan, SPR perlu diletakkan di bawah Parlimen, bukan lagi Jabatan Perdana Menteri.

“Keadaan ini mesti diubah. Kerana siapa pun yang jadi Perdana Menteri, SPR akan dikawal. Ini tidak betul,” tegasnya.

Tambah CheguBard, Himpunan Bersih 3.0 ‘Duduk Bantah’ 28 April ini di Dataran Merdeka adalah jawapan kemarahan rakyat Malaysia yang sudah muak berhadapan kecurangan dan penyelewengan SPR.

“Kita perlu fokus dan lakukan sesuatu sehingga kedua-dua mereka meletakkan jawatan,” kata CheguBard, namun tidak memaklumkan jenis tindakan yang akan dilakukan.

Tiada ulasan: