Rabu, 25 April 2012

SPR terima 2.27 juta pengundi baru selepas PRU 2008

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa seramai 2,270,002 pengundi baru didaftarkan dari 2008 hingga 2011 dengan kaum Melayu merupakan pemilih baru tertinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, daripada jumlah itu, 155,420 pemilih didaftarkan pada 2008, 279,270 pemilih (2009), 826,462 pemilih (2010) dan 1,008,850 pemilih (2011).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Ng Fook Heng yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan pengundi baru berdaftar mengikut kaum sejak 2008.

Mengenai pecahan jumlah pendaftaran pemilih mengikut kaum, Liew berkata  Melayu merupakan kaum tertinggi mendaftar pada 2008 iaitu seramai 82,309 pemilih (53 peratus) diikuti kaum Cina (29.4 peratus) dan India (8.1 peratus).

Pada 2009, seramai 187,828 pemilih (67.3 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (19.8 peratus) dan Bumiputera Sarawak (4.8 peratus) manakala pada 2010, seramai 466,137 pemilih (56.4 peratus) adalah orang Melayu diikuti Cina (27.0 peratus) dan India (6.6 peratus), katanya.

Bagi 2011, seramai 611,498 pemilih (60.6 peratus) ialah Melayu diikuti Cina (22.0 peratus) dan India (6.7 peratus).

Liew berkata, statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Selangor mencatatkan pendaftaran jumlah pengundi baru tertinggi iaitu seramai 165,222 orang diiikuti Johor (124,240 orang), Perak (96,710 orang), Sabah (86,927 orang) dan Kedah (84,704 orang).

Ini diikuti dengan Kelantan seramai 69,344 orang, Pulau Pinang (64,029 orang), Sarawak (63,305 orang), Kuala Lumpur (61,040 orang), Pahang (59,639 orang), Terengganu (45,190 orang), Negeri Sembilan (42,009 orang), Melaka (31,827 orang), Perlis (9,881 orang), Labuan (2,863 orang) dan Putrajaya (1,920 orang). – Bernama

Tiada ulasan: