Jumaat, 27 April 2012

SPR: PKR mahu Aziz, Wan Ahmad segera undur

Wartawan Sinar Harian

muka depan akhbar Sinar Harian edisi Sleangor Jumaat 27 April 2012
 
Muka depan akhbar Sinar Harian edisi Sleangor Jumaat 27 April 2012 
 
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
Datuk Saifuddin Nasution Ismail


SHAH ALAM - PKR mahu kedua-dua Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar segera meletakkan jawatan ekoran pengakuan bahawa mereka adalah ahli Umno.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Abdul Aziz dan Wan Ahmad perlu bertindak demikian bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan SPR.
 
"Kita berpendapat jalan terbaik untuk kedua-dua mereka membantu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan institusi SPR lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang ialah segera meletak jawatan," kata beliau dalam satu kenyataan media dikeluarkan sebentar tadi.
 
Katanya, PKR memandang serius perkara keterlibatan Abdul Aziz dan Wan Ahmad yang sah menjadi ahli Umno sementara masih memegang jawatan dalam SPR.
 
"PKR berpegang kepada prinsip bahawa kepercayaan awam adalah syarat tonggak dalam kriteria perlantikan seseorang sebagai anggota dalam SPR.
 
"Seorang yang diamanahkan menduduki jawatan sebagai anggota SPR hendaklah diyakini bebas, tidak berpihak dan berkecuali," katanya lagi.
 
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, ternyata Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR gagal dalam ujian asas ini kerana terbukti mereka berdua sah menjadi ahli Umno.
 
Dalam kenyataan itu, Saifuddin berkata, Abdul Aziz merupakan ahli Umno cawangan Sri Ampang Baru, Ampang manakala Wan Ahmad pula ahli cawangan Kubang Bunggor, Pasir Mas.

Tiada ulasan: