Selasa, 17 April 2012

SPR bincang 22 syor PSC esok

Wartawan Sinar Harian

logo_psc
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membincangkan 22 syor yang digariskan dalam laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, esok.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, cadangan itu amat baik dalam memastikan pilihan raya di negara ini berjalan dengan baik.

"Cadangan itu ada yang sesuai dilaksanakan bagi tempoh jangka pendek, ada bagi tempoh jangka pertengahan dan ada bagi tempoh jangka panjang.

"Kita akan teliti cadangan ini sedalamnya," katanya kepada Bernama dan RTM di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, hari ini.

Pada 3 April lepas, Dewan Rakyat meluluskan kesemua 22 syor yang dikemukakan jawatankuasa itu tanpa dibahaskan.

Laporan setebal 79 muka surat itu mengandungi 22 syor penambahbaikan proses pilihan raya yang dibentangkan oleh Pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Perkara-perkara yang dilaporkan untuk diangkat sebagai pertimbangan Dewan adalah perkara yang dikenal pasti sebagai perkara pokok dan penting yang boleh dilaksanakan dalam jangka pendek dan jangka panjang oleh SPR dan badan-badan serta agensi yang berkaitan.

"Selama jawatankuasa menjalankan tugas selama enam bulan, untuk makluman, sejumlah lebih 200 cadangan dan idea baik telah dikemukakan oleh pihak awam untuk dipertimbangkan oleh jawatankuasa sebagai penambahbaikan sistem dan proses pilihan raya negara," katanya ketika membentangkan laporan itu.

Menurutnya laporan itu diperoleh setelah mendapat pandangan daripada sesi pendengaran awam, maklum balas daripada anggota jawatankuasa, rumusan hasil penelitian semua jawatankuasa kecil serta pemerhatian semasa lawatan kerja ke United Kingdom, Jerman dan Denmark.

Daripada 22 syor itu, jawatankuasa yang dianggotai sembilan anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang itu, telah mepersetujui 18 syor yang dikemukakan manakala empat lagi dipersetujui secara undian belah bahagi.

Syor-syor yang dipersetujui adalah memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos; pengundi luar kawasan; tarikh pembubaran Parlimen; kerajaan sementara; penguatkuasaan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberikan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran; akses media yang bebas dan saksama.

Selain itu ialah pembersihan daftar pemilih yang berterusan; penelitian daftar pemilih bagi alamat-alamat yang mempunyai ramai pemilih berdaftar; bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya; penggunaan alamat selain alamat mastautin pada kad pengenalan sebagai alamat pendaftaran untuk menentukan bahagian pilihan raya.

Jawatankuasa itu turut bersetuju dengan syor memperkasakan kedudukan SPR; penstrukturan dan pengukuhan SPR; pengasingan fungsi utama SPR; pengagihan kerusi Dewan Rakyat bagi negeri Sabah dan Sarawak; persempadanan bahagian pilihan raya yang seimbang; peruntukan dana kepada parti politik dan sistem pilihan raya.

Empat syor lain adalah memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media; membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun; memanjangkan tempoh berkempen dan kajian ke arah pendaftaran secara automatik.

Tiada ulasan: