Rabu, 4 April 2012

SPR Akan Kenal Pasti Cadangan Yang Boleh Dilaksanakan

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan pihak terlibat yang menghasilkan input baik ke arah penambahbaikan proses pilihan raya di negara ini.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria dalam satu kenyataan di sini berkata, syor yang diperakukan jawatankuasa itu akan dikaji dengan lebih mendalam oleh SPR bagi mengenal pasti cadangan yang boleh dilaksana untuk jangka masa pendek dan panjang.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Selasa membentangkan laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung isu berkenaan di Dewan Rakyat.

Laporan setebal 79 muka surat yang mengandungi 22 syor penambahbaikan prosespilihan raya itu diperoleh setelah mendapat pandangan daripada sesi pendengaran awam, maklum balas daripada anggota jawatankuasa, rumusan hasil penelitian semua jawatankuasa kecil serta pemerhatian semasa lawatan kerja ke United Kingdom, Jerman dan Denmark.

Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, daripada 22 syor berkenaan jawatankuasa yang dianggotai sembilan anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang itu telah mempersetujui 18 syor yang dikemukakan manakala empat lagi dipersetujui secara undian belah bahagian.

Syor-syor yang dipersetujui adalah memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos, pengundi luar kawasan, tarikh pembubaran Parlimen, kerajaan sementara, penguatkuasaan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberikan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran termasuk akses media yang bebas dan saksama.

Selain itu, ia turut melibatkan pembersihan daftar pemilih yang berterusan, penelitian daftar pemilih bagi alamat-alamat yang mempunyai ramai pemilih berdaftar, bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.

Penggunaan alamat selain alamat bermastautin pada kad pengenalan sebagaialamat pendaftaran untuk menentukan bahagian pilihan raya juga turut dipersetujui dalam syor itu.

Pada pembentangan itu, jawatankuasa turut bersetuju dengan syor memperkasakan kedudukan, penstrukturan dan pengukuhan, pengasingan fungsi utama SPR, pengagihan kerusi Dewan Rakyat bagi negeri Sabah dan Sarawak, persempadanan bahagian pilihan raya yang seimbang, peruntukan dana kepada parti politik dan sistem pilihan raya.

Empat syor yang perlu melalui undian belah bahagian pula adalah memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media, membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun, memanjangkan tempoh berkempen dan kajian ke arah pendaftaran secara automatik. - BERNAMA

Tiada ulasan: