DIA masih mampu bertenang. Tenang setenang-tenangnya. Langsung tidak ada garis kecewa atau amarah yang bertamu pada raut wajah yang kekal anggun itu.
Selepas 17 tahun melayari dunia seni, gosip liar dan cerita panas nampaknya bagaikan tidak menjadi sebarang kudis kepada insan ternama ini.
Jauh sekali untuk 'naik hantu', Siti sebaliknya kekal dengan sifat tenang, meskipun ombak ganas fitnah terus membadai mengatakan dia dimadukan oleh sang suami.
Siti seperti lazimnya tahu, isu rumah tangganya akan terus diperkatakan. Dan sesekali dia melontar rasa sedih serta kecewa ekoran populariti dirinya, suami tersayang menerima impak besar hasil fitnah tidak bertepi.
Mengakui terlintas juga untuk mengambil keputusan menghantar surat saman kepada si pembuat fitnah, bagaimanapun mengenangkan ia datang dari dunia siber, niat itu terpaksa dipendamkan saja.
"Ini bukan kali pertama tetapi sudah banyak kali kisah dusta tentang rumah tangga saya dicanangkan. Saya dan suami juga pernah membuat kenyataan sebelum ini untuk menafikan segala cerita karut itu.
"Tetapi, nampaknya orang yang menyebarkan cerita itu tidak boleh duduk diam dan kembali melakukan perkara serupa.
"Untuk saya, gosip seperti ini adalah sesuatu yang normal perlu dihadapi sebagai seorang artis. Tiada sebab untuk saya marah atau melenting kerana saya tahu cerita itu tidak benar.
"Bagaimanapun saya lebih kasihankan suami yang nampaknya cukup tertekan dengan cerita-cerita seperti. Mahu atau tidak, hal ini yang mengganggu dirinya. Sehinggakan kawan-kawannya sendiri berulang kali bertanyakan soalan itu yang membuatkan Datuk Khalid tidak selesa.
"Kalaulah saya dan suami tahu siapa yang melakukannya, memang kami mahu menyaman pihak terbabit.
"Tetapi memandangkan ia direka di ruangan gosip dalam Internet, maka, kami menganggap ia adalah gosip liar semata-mata," jelas Siti panjang lebar sewaktu ditemui usai sidang akhbar Istimewa Hari Ibu...Sepetang Bersama Datuk Siti Nurhaliza di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Kata bekas juara Bintangi HMI 1995 itu lagi, dek kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan, dia hanya membiarkan cerita itu hilang dengan sendirinya tanpa perlu bertanyakan kesahihan kepada suaminya.
Jauh sekali untuk dia meragui segala kesetiaan yang dituang oleh sang suami. Melihat eratnya dakapan kasih sayang suami kepada dirinya, Siti mengaku tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Tidak masam muka
Mengulas tentang hubungannya dengan Rozita pula, jelas Siti, dia mahu rasional dan tidak memandang pelakon berkenaan di pihak yang bersalah sama sekali.
Malah, akui Siti, dia tidak mempunyai sebab untuk bermasam muka atau memusuhi aktres itu hanya semata-mata cerita palsu yang tersebar tanpa noktah itu.
Sebagai artis, Siti juga memahami betapa Rozita juga sudah tentu tertekan dengan fitnah yang bermaharajalela.
"Kami sama-sama artis, lebih mudah untuk faham dan menerima situasi ini. Sudah tentu bila orang burukkan kita atau keluarga, kita akan tertekan.
"Saya tidak ada masalah dengan Rozita sebenarnya kerana saya tahu, dia juga tidak mahu dilibatkan dengan cerita sebegini," katanya.
Malah, jika dia bertemu dengan Rozita dalam mana-mana majlis sekali pun, dia akan bertegur seperti biasa kerana masing-masing tahu bahawa segala yang berlaku adalah tidak benar dan menjadi mangsa keadaan.
"Seboleh-bolehnya juga kami tidak mahu memanjangkan dan memperbesar-besarkan lagi cerita ini. Apa yang mampu saya katakan biarlah mereka yang membuat fitnah ini mendapat balasan daripada Allah SWT," jelas Siti lagi.-Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan