Sabtu, 7 April 2012

Shahrizat tamat tugas sebagai menteri esok

MALAYSIA CHORNICLE


KUALA LUMPUR- Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau akan membawa memori serta legasi indah ketika bersama 'keluarga besarnya' di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas menerajuinya sejak kira-kira 11 tahun lalu.

Menteri bertaraf senator itu juga melahirkan rasa sayunya untuk meninggalkan pegawai dan kakitangannya yang disifatkan rajin, berdedikasi dan sentiasa iltizam dalam melaksanakan tugas. “Saya bertuah kerana bersama Ketua Setiausaha (Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nor), pegawai dan kakitangan kementerian yang selama ini bertugas sebagai satu keluarga, bersama saya mengharungi suka dan duka.

“Yang pasti, saya akan membawa bersama dalam hati dan jiwa saya, memori serta legasi yang indah ketika bersama mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketua Wanita UMNO itu juga melahirkan rasa sayang dan menghargai perkhidmatan semua kakitangan kementerian itu.

“Bila mereka menyanyikan lagu Di Manakan Ku Cari Ganti tadi, saya rasa nak menitis air mata,” katanya.

Sebelum itu, Shahrizat yang bakal menamatkan tugasnya sebagai menteri esok mengadakan pertemuan terakhir dengan kakitangan kementerian.

Pertemuan itu dihadiri sekitar 300 kakitangan kementerian di Dewan Perdana Nur diadakan secara tertutup.

Sementara itu, Noorul Ainur ketika ditemui berkata, Shahrizat adalah menteri yang begitu disenangi semua kakitangan dan sentiasa mengambil berat mengenai mereka.

“Beliau juga mudah didekati bukan saja kakitangan malah kumpulan sasar kementerian. Amanat terakhirnya hari ini (semalam), beliau tidak mahu berlangsung dalam keadaan sedih.

“Justeru, suasana pertemuan pada hari ini (semalam) sungguh ceria dan itu yang beliau mahukan,” katanya.

Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mulai 9 April 2009 selepas tewas kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).-BeritaHarian

Tiada ulasan: