Isnin, 16 April 2012

Selangor Kini, Harakah ‘ceroboh’ Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia

MALAYSIA CHRONICLE


SEJAK kebelakangan ini, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menjadi sasaran pihak-pihak tertentu memasukkan lidah rasmi Pas, Harakah dan Selangor Kini terbitan kerajaan Selangor sebagai sisipan untuk diedarkan kepada pembaca.

Pihak Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ingin menjelaskan bahawa kami tidak bertanggugjawab terhadap pengedaran akhbar berkenaan melalui Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia.

Kami kesal dengan tindakan yang dianggap sebagai sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini bagi menjatuhkan imej akhbar arus perdana ini.

Sebagai akhbar yang diharamkan penjualannya di semua premis jabatan atau agensi kerajaan pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang, Utusan tidak akan membenarkan sama sekali akhbar yang didokong oleh DAP, Pas, PKR itu menjadi ‘sisipan’ Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia.

Untuk makluman pembaca, tindakan tidak bertanggungjawab ini pernah berlaku tahun lalu tetapi Jabatan Pemasaran telah memberi amaran kepada semua pengedar akhbar yang disyaki terlibat.

Bagaimanapun akhir-akhir ini, perkara yang sama berulang terutama di sekitar Lembah Klang termasuklah Hulu Langat, Wangsa Maju, Shah Alam dan Chow Kit.

Jabatan Pemasaran Utusan akan terus memantau keadaan ini dan akan mengambil tindakan lebih tegas termasuk membuat laporan polis. Utusan juga akan menamatkan urusniaga dengan mana-mana agen atau pengedar yang terlibat dalam tindakan yang tidak beretika ini.

Kepada mereka yang mempunyai maklumat berkaitan ‘pencerobohan’ terhadap akhbar ini bolehlah menghubungi Jabatan Pemasaran di Bangi atau Pengurus Pemasaran Wilayah, Rosman Zulkifli melalui telefon 0177771443.

- Pengarang

Tiada ulasan: