Isnin, 23 April 2012

Scorpene: KEADILAN desak Najib, Zahid beri keterangan di Perancis

Oleh: Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR: KEADILAN mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi keterangan di Mahkamah Perancis, berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Naib Presidennya N Surendran berkata, keengganan pemimpin itu berbuat demikian boleh menjejaskan imej negara apatah lagi  kedua-dua negara mempunyai pertalian baik.

“Saya amat kecewa apabila Perdana Menteri dan beberapa individu lain yang terlibat enggan bekerjasama apabila diminta memberi keterangan.Ini mencerminkan sikap tidak bertanggung jawab mereka.

“Ia seolah-olah mempersendakan sistem kehakiman Perancis dan boleh menjejaskan hubungan baik, seterusnya memberi gambaran yang buruk tentang imej negara,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily hari ini.

Beliau berkata demkian mengulas keengganan Najib dan Zahid memberi keterangan di tribunal Grande Instanve Paris berhubung komisen yang dibayar pembuat kapal Selam Perancis, DCNS kepada pegawai Malaysia.

Najib semalam enggan memberikan respon ketika ditanya oleh wartawan dalam sidang media di Universiti Sains Malaysia. Malah sidang media tidak sampai 10 minit itu, dipendekkan.

Nama Najib dan Zahid antara saksi yang dikemukakan pada 20 April lalu oleh tiga wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di depan hakim Roger Le Loire- salah seorang dari dua hakim yang mendengar kes berkenaan.

Suaram mengemukakan Najib sebagai saksi yang wajar dipanggil, memandangkan beliau merupakan menteri pertahanan yang terlibat dalam perolehan dua kapal selam berharga RM7.3 bilion itu.
Surendran berkata, tiada apa yang perlu ditakutkan kedua-dua pemimpin itu jika benar mereka tidak terlibat dalam transaksi tersebut.

Sebaliknya kata beliau, sikap berdolak-dalik mereka seolah menunjukkan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu.

“Justeru sekali lagi saya menyarankan Najib dan Zahid bersetuju untuk memberi keterangan dalam kes ini,” kata beliau.

Tiada ulasan: