Keyakinan itu dikuatkan lagi dengan adanya keinginan untuk maju di kalangan rakyat di negeri ini termasuk golongan muda yang mempunyai sikap positif untuk berjaya.
KUCHING: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yakin Sarawak berpotensi menjadi ‘lubuk emas’ tanaman komoditi getah dengan adanya tanah yang masih luas.
Ketua Pengarah RISDA Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata keyakinan itu dikuatkan lagi dengan adanya keinginan untuk maju di kalangan rakyat di negeri ini termasuk golongan muda yang mempunyai sikap positif untuk berjaya.
Menurutnya, adalah menjadi harapan pihak RISDA melalui usaha yang dilakukan untuk membantu pekebun kecil getah dengan penanaman skala yang besar agar pendapatan mereka dapat dilonjakkan lagi.
“Kita menyasarkan untuk melonjakkan pendapatan pekebun kecil penanaman getah dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 pada tahun 2015 dan meningkat kepada RM4,000 pada tahun 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Laman Sesawang RISDA Sarawak dan Jamuan Malam Bersama Anggota RISDA Sarawak bertemakan ‘Kasihi Pekebun Sayangi RISDA’.
Tanah yang luas
Katanya, untuk merealisasikan usaha mengubah taraf hidup dan melonjakkan pendapatan pekebun kecil getah memerlukan kerjasama daripada semua pihak.
“Sarawak mempunyai keluasan tanah yang cukup besar, ini memberi kelebihan kepada masyarakat di negeri ini untuk terlibat dalam penanaman getah. Setakat ini kira-kira 150,000 anggota masyarakat terlibat dalam penaman getah,” ujarnya.
Beliau memberitahu pada tahun ini sebanyak 5,000 hektar kawasan tanah di negeri ini dibangunkan untuk tujuan penanaman getah dan sawit dengan jumlah bantuan yang dihulurkan oleh pihak RISDA sebanyak RM67 juta.
“Adalah menjadi harapan kerajaan untuk mengangkat taraf pekebun kecil getah di negeri ini setaraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia,” jelasnya.
Berkenaan dengan pelancaran laman sesawang Risda Sarawak itu, katanya, ia membantu untuk membolehkan orang ramai mengenali RISDA dengan lebih dekat, selain menunjukkan kemahiran dalam bidang Teknologi Telekomunikasi dan Maklumat (ICT).
“Laman sesawang ini akan menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan dengan RISDA dan menunjukkan kemajuan yang dicapai oleh RISDA sepanjang tempoh 39 tahun lalu,” katanya.
Laman sesawang RISDA boleh diakses melalui http/www.risda.gov.my/web/guests/statesarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan