Isnin, 2 April 2012

Saman fitnah Anwar terhadap tim menteri 27 Sept

MALAYSIA KINI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 27 dan 28 September untuk perbicaraan kes saman fitnah bernilai RM10 juta yang difailkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini.

Pada 22 Ogos 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Hamzah, yang ketika itu timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, kerana dakwaan mengeluarkan kata-kata fitnah dan disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Jit Poh, bertarikh 19 Ogos 2008, dalam artikel bertajuk "Anwar Harassed My Wife".

Anwar mendakwa artikel itu memberi gambaran dan persepsi bahawa beliau terbabit dengan aktiviti hubungan seksual terlarang, bermoral rendah, seorang lelaki yang tidak ada nilai-nilai Islam dan berperangai buruk.

Hamzah, dalam pembelaan beliau pada 13 November 2008 pula, berkata perkataan dalam artikel itu adalah wajar. Bernama

Tiada ulasan: