Rabu, 25 April 2012

Rumah Mazlan Aliman disimbah cat merah

Rumah Mazlan Aliman disimbah cat merah MALAYSIA CHRONICLE
 
 
KUALA LUMPUR- Rumah AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman di Felda Ramun, Kulai, Johor disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali, awal pagi tadi.

Mazlan berkata, perbuatan khianat itu disedari oleh isterinya yang belum tidur kira-kira jam 3.00 pagi tadi.

Isterinya mendengar derap tapak kaki di luar rumah dan mengejutkan beliau yang baru melelapkan mata.

Apabila mereka keluar melihat apa yang berlaku kira-kira lima minit kemudian, didapati bahagian beranda dan kaki lima rumah telah disimbah cat merah.

"Malam tadi saya ada ceramah dan pulang ke rumah agak lewat.

"Dalam jam tiga pagi, saya baru terlelap, dan isteri saya belum tidur lagi.

"Dia terbau cat yang kuat dan terus kejutkan saya. Apabila kami tengok di luar rumah, bahagian beranda dan kaki lima dikotori cat merah (gambar) tapi kejadian itu berlaku sangat pantas," kata beliau kepada Harakahdaily pagi ini.

Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis hari ini berhubung kejadian itu.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat bagaimanapun yakin perbuatan khianat itu dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan perjuangannya dalam isu tanah dan Felda.

"Saya yakin ini merupakan satu usaha untuk menakutkan-nakutkan saya tapi saya tak gentar.

"Saya dah berada dalam PAS selama 30 tahun dan sudah hadapi macam-macam. Insya Allah saya boleh hadapi semua ini dan memberi semangat kepada saya untuk terus perjuangkan hak rakyat," tegas beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Tambah beliau lagi, perbuatan itu juga dilakukan menjelang Himpunan Tanah Rakyat di Plaza Angsana, Johor Bharu 5 Mei depan.

"Kita akan adakan himpunan tanah besar-besaran dan kita sudah buat roadshow ke seluruh tempat dan dedahkan perkara-perkara berkaitan isu tanah.

"Kita dedahkan bagaimana pemimpin Umno ada tanah yang banyak sedangkan rakyat yang buat permohonan 40 tahun tak dapat-dapat.

"Mungkin perbuatan ini untuk menggagalkan usaha kita memberi maklumat kepada rakyat," katanya.
--Harakahdaily

Tiada ulasan: