Isnin, 2 April 2012

Razali mahu ketuai jentera BN jika Salahuddin bertanding

“Kalau dia nak bertanding di Muar saya alu-alukan. Tapi tidak logik sebab Parlimen Muar untuk pembangkang adalah kerusi PKR," katanya dalam sidang media di sini hari ini.



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim berkata pihaknya tidak gentar sekiranya Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mahu menjadi pencabarnya bertanding dikerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Malah beliau yang juga naib ketua Pemuda Umno bersedia menawarkan dirinya mengetuai jentera BN mempertahankan Parlimen Muar daripada dirampas Pakatan Rakyat.

“Perkara asasnya kenapa dia tidak mempertahankan kerusi di Kelantan?

“Kalau dia nak bertanding di Muar saya alu-alukan. Tapi tidak logik sebab Parlimen Muar untuk pembangkang adalah kerusi PKR,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ini berikutan keputusan Pakatan Rakyat yang mahu Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bertanding di Johor Baru dan menjadi calon Menteri Besar.

Rakyat buat pertimbangan


Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata Salahuddin bebas untuk bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) asalkan mahu berkhidmat untuk rakyat, bukan hanya mendapatkan kuasa.

Katanya, apa yang dilihat pengumuman Salahuddin untuk bertanding di Johor itu hanyalah untuk meluaskan kuasa pembangkang untuk menawan negeri itu daripada BN daripada menjaga kebajikan rakyat.

“Ini lebih kepada kuasa. Pegumuman yang dibuat oleh mereka semua mengenai kuasa sama ada untuk mengekalkan kuasa atau merampas kuasa daripada rakyat.

“Namun saya tidak boleh menguasai rakyat, mereka buatlah pertimbangan. Tapi kalau Salahuddin untuk datang ke Muar, apa pilihan yang saya boleh buat.

Jumaat lalu,Salahuddin telah mengesahkan akan kembali ke Johor, menyertai rancangan Pakatan Johor untuk mengambil alih negeri berkenaan dalam PRU13.

Tiada ulasan: