Khamis, 5 April 2012

Rafizi: Najib tipu apabila kata aset NFC dibekukan

Rafizi Ramli


Saya telah menegaskan berkali-kali bahawa semua transaksi yang melibatkan aset dan kepentingan pemilik NFC perlu dibekukan kerana ada kemungkinan besar harta-harta ini diperolehi dengan menggunakan dana awam sebanyak RM250 juta yang diselewengkan dari tujuan asalnya.

Aset dan kepentingan pemilik NFC yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

1. Semua pegangan syarikat, saham dan pelaburan di dalam apa-apa entiti yang dibuat selepas tahun 2007, iaitu selepas NFCorp dianugerahkan kontrak RM250 juta untuk mengusahakan Pusat Fidlot Kebangsaan;

2. Semua hartanah, plot tanah dan pelaburan di dalam bidang hartanah yang dibuat selepas tahun 2007, sama ada pembelian di buat atas nama NFC, syarikat-syarikat yang dikuasai oleh pemilik NFC atau pun atas nama mereka sendiri;

3. Sebarang pemindahan wang kepada syarikat atau individu selain dari bayaran operasi biasa NFC; dan

4. Sebarang pertukaran kepentingan melibatkan aset lain, termasuklah kereta, dana, kelengkapan dan lain-lain.

Setakat ini, telah terbukti bahawa pemilik NFC telah menggunakan sebahagian dari dana awam berjumlah RM250 juta untuk tujuan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu, terutamanya pelbagai pelaburan di dalam bidang hartanah.

Persoalan yang paling kritikal ialah bagaimanakah kesemua RM250 juta ini akan dapat dipulangkan kembali kepada rakyat, apabila ia terikat di dalam pelbagai bentuk pelaburan hartanah dan harta-harta lain.

Tambahan pula, tidak seorang pun pemilik NFC memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) bahawa liabiliti mereka kepada rakyat Malaysia tidak sahaja terhad kepada modal yang dilaburkan di dalam NFC; bahkan kerajaan boleh mengambil alih harta mereka yang lain untuk mendapatkan kembali RM250 juta yang telah dipinjamkan.

Oleh sebab itulah, KEADILAN telah mendesak berkali-kali supaya kerajaan mengambil langkah segera dan tegas untuk membekukan semua harta dan transaksi melibatkan NFC dan pemiliknya, termasuklah harta-harta peribadi yang telah didedahkan selama ini kerana ia adalah cagaran balik untuk mendapatkan kembali dana awam berjumlah RM250 juta itu.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku.

Saya boleh mendedahkan bahawa ruang masa yang mengalihkan pandangan rakyat dari skandal NFC kepada isu perletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Jalil telah digunakan untuk mengatur urusniaga yang melupuskan hartanah-hartanah yang sepatutnya dibekukan.

Pemilik-pemilik NFC, iaitu Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anak beliau, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh kini dalam proses memuktamadkan penjualan tiga aset hartanah kepada sebuah syarikat, Insun Development Sdn Bhd bernilai RM3 juta.

Tiga aset hartanah ini dibiayai oleh bank yang sama yang sebelum ini membiayai pembelian 8 unit hartanah mewah di KL Eco City, lalu menimbulkan persoalan sama ada pembiayaan ketiga aset hartanah ini juga adalah berasaskan simpanan deposit dana NFC yang ditempatkan di bank tersebut.

Maklumat hartanah tersebut adalah seperti berikut:

Hartanah 1

Alamat:

B-00-22

Plaza Damas 3

No 63, Jalan Sri Hartamas 1

Taman Sri Hartamas

50480 Kuala Lumpur

Jenis: Tingkat bawah, kedai pejabat 3 tingkat

Harga dilupuskan kepada Insun Development Sdn Bhd: RM1.5 juta

Hartanah 2

Alamat: B-01-22

Plaza Damas 3

No 63, Jalan Sri Hartamas 1

Taman Sri Hartamas

50480 Kuala Lumpur

Jenis:Tingkat 1, kedai pejabat 3 tingkat

Harga dilupuskan kepada

Insun Development Sdn Bhd: RM759,000

Hartanah 3

Alamat:B-02-22

Plaza Damas 3

No 63, Jalan Sri Hartamas 1

Taman Sri Hartamas

50480 Kuala Lumpur

Jenis:Tingkat 2, kedai pejabat 3 tingkat

Harga dilupuskan kepada

Insun Development Sdn Bhd:RM741,000

Urusniaga berjumlah RM3 juta boleh disahkan oleh pengurusan Insun Development Sdn Bhd yang beralamat di 15-5, Signature Office The Boulevard, Midvalley City, 59200 Kuala Lumpur atau pun peguam yang bertindak bagi pihak pembeli iaitu Heng & Co, No 30 Lorong Maarof, Bangsar Park, 59000 Kuala Lumpur. Harga pasaran ketiga-tiga hartanah ini dianggarkan berjumlah RM4 juta, maka pelupusan ini dibuat pada diskaun sebanyak 25%.

Saya membidas sekeras-kerasnya kecuaian pihak berkuasa yang membolehkan urusniaga sebegini terus berlaku terutamanya apabila pelupusan harta dibuat pada harga yang lebih rendah. Ini menjejaskan kemungkinan pihak berkuasa dapat merampas kembali sebarang harta yang dibeli dengan menyalahgunakan dana awam RM250 juta untuk mendapatkan kembali pembayaran dana tersebut kelak.

Jika ini boleh berlaku tanpa sebarang pengawasan, ini bermakna perkara yang sama boleh juga berlaku dengan aset-aset lain yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tetapi dibeli menggunakan dana awam (atau pun melalui transaksi melibatkan dana awam) iaitu:

1. Kondominium One Menerong berjumlah RM14 juta

2. 2 plot tanah di Putrajaya berjumlah RM3 juta

3. Kondominium di Orchard Scotts berjumlah RM10 juta

4. 2 kondominium di Marina Bay Suites berjumlah RM34 juta

5. 8 unit rumah kedai pejabat di KL Eco City dianggarkan berjumlah RM12 juta

Urusniaga yang melupuskan harta-harta milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti ini membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbohong kepada rakyat apabila beliau mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan pada 14 Januari 2012 yang lalu.

Sehingga kini, segala urusniaga dan operasi berjalan seperti biasa termasuklah yang melibatkan pelupusan harta yang menjejaskan pengambilan semula dana awam RM250 juta. MALAYSIA CHRONICLE


Tiada ulasan: