SHAH ALAM : Cadangan agar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukarkan kepada biasiswa khusus untuk penuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan pendidikan percuma mampu dilaksanakan di negara ini.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata tindakan itu menunjukkan Umno-BN secara diam yakin dengan cadangan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR).
“Macam mana pun Umno-BN menidakkan tentang isu PTPTN dalam pendidikan percuma ini, mereka tidak boleh lari daripada kehendak dan sentimen rakyat.
“Sebenarnya pendidikan percuma boleh dibuat dalam tahun 60-an lagi sebelum mereka mengkorporatkan pendidikan.
“Oleh kerana itu cadangan itu melambangkan dalam pentadbiran Umno-BN sendiri mereka secara diam-diam yakin dengan cadangan yang dibuat oleh PR,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Rafizi, isu-isu yang dibawa oleh PR mengenai pendidikan percuma itu merupakan isu yang sangat rapat dengan rakyat.
“Jadi soal boleh atau tidak boleh dilaksanakan itu sudah kita buktikan dengan nombor tetapi sampai sekarang Umno-BN masih belum menjawab, cuma mereka hanya pandai bermain sentimen dan menyerang secara retorik tanpa menunjukkan bukti,” katanya.
Semalam, Senator Noriah Mahat mencadangkan kerajaan supaya memberi pengurangan bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 30 peratus daripada jumlah pinjaman kepada penuntut yang berjaya mendapat ijazah Kelas Kedua Atas.
Noriah berpendapat adalah wajar jika penukaran daripada pinjaman kepada biasiswa hanya diberi kepada penuntut di IPTA manakala penuntut IPTS yang mendapat ijazah Kelas Pertama diberi diskaun 50 peratus daripada jumlah pinjaman.
Rafizi juga mengulangi sokongan PKR terhadap perkhemahan aktivis mahasiswa di Dataran Merdeka yang sudah berlangsung lebih dari satu minggu selepas himpunan mansuhkan PTPTN pada Apr 14.
Katanya, perjuangan aktivis tersebut sama dengan PKR iaitu menhapuskan PTPTN dan memberi pendidikan percuma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan