Selasa, 17 April 2012

PTPTN: SMM pertahan tindakan kalung bunga

RUZY ADILA IDRIS

Demo PTPTN: ‘Panggil mendiang sesama Islam?’
SHAH ALAM – Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mempertahankan tindakan mereka mengalungkan bunga malai pada potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sewaktu mengadakan demonstrasi di ibu negara Sabtu lalu dan menafikan tindakan tersebut seolah-olah mengkafirkan sesama Islam.

Presidennya, Mohamad Safwan Anang berkata, tindakan tersebut dilakukan sebagai simbolik protes semata-mata bagi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, ia tidak membawa maksud atau kesan ke atas kepercayaan mana-mana agama.

“Tindakan itu bukan melambangkan ‘kematian’ kedua-dua pemimpin berkenaan, sebaliknya apa yang disampaikan adalah mengenai hak mahasiswa yang ‘mati’ kerana pemimpin tidak memberikan komitmen terhadap tuntutan mahasiswa.

“Jangan timbulkan sentimen agama dalam hal ini. Saya pelik kenapa batu nisan yang kami gunakan tidak pula dijadikan isu kerana ia juga melambangkan kematian bagi orang Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelbagai respons berhubung tindakan kumpulan mahasiswa yang terdiri daripada lebih 300 orang yang menyertai demonstrasi terbabit.
Beberapa tokoh agama menyifatkan tindakan kumpulan mahasiswa itu bertentangan dengan tuntutan Islam.

Setelah membuat kalungan bunga, kumpulan terbabit kemudiannya, berkhemah di Dataran Merdeka dan bertegas akan terus berada di kawasan tersebut sehingga pihak kerajaan memberi respons berhubung tuntutan memansuhkan pinjaman PTPTN.

Bagaimanapun, pagi tadi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan khemah-khemah yang didirikan dicabut dan mengosongkan kawasan itu.

Pada awalnya hanya dua khemah dibuka manakala satu lagi dibiarkan dan keadaan itu menyebabkan kekecohan sambil beberapa mahasiswa yang berdiri di tepi jalan mula melaungkan "Hapus PTPTN". Beberapa minit kemudian khemah yang ketiga dicabut.

Namun, kira-kira tiga jam selepas arahan dibuat, kumpulan berkenaan menaikkan balik khemah di kawasan tersebut.

Tiada ulasan: