Rabu, 25 April 2012

PTPTN pulangkan hasil pelarasan bayaran balik pinjaman sebanyak RM2.72j

SINAR HARIAN

TEMERLOH - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memulangkan hasil pelarasan lima peratus kepada tiga peratus hingga satu peratus membabitkan RM2.72 juta kepada seramai 3.2 juta peminjam sehingga 31 Mac lalu.

Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata, dalam tempoh sama juga PTPTN sudah memberi pinjaman sebanyak RM43.85 bilion kepada 1.96 juta pelajar melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

"Sehingga 31 Mac lalu, sepatutnya seramai 1,052,693 peminjam membabitkan peruntukan RM6.84 bilion membayar balik pinjaman, tetapi atas faktor tertentu seperti sakit, melanjutkan pelajaran keluar negara, PTPTN meluluskan penangguhan kepada 31,606 peminjam terbabit," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Minda di perkampungan Orang Asli Penderas petang semalam.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata, sehingga kini PTPTN menerima RM3.8 bilion bayaran balik pinjaman daripada 759,526 peminjam.

Katanya, peminjam yang dikenakan tindakan dan tidak memberikan sebarang jawapan setelah dihubungi PTPTN adalah seramai 261,561 peminjam membabitkan pinjaman RM1.8 bilion.

Ismail berkata, sejak ditubuhkan lebih 15 tahun lalu, PTPTN mengeluarkan pinjaman sebanyak RM43.85 bilion dan pada tahun ini sahaja RM5.05 bilion diberikan kepada peminjam, iaitu RM3.37 bilion kepada peminjam sedia ada dan RM1.68 bilion kepada peminjam baru.

Katanya, tahun ini PTPTN meluluskan pinjaman sebanyak RM182.3 juta kepada 14,459 pelajar.

Sementara itu, beliau berkata daripada 600 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini, sebanyak 434 IPTS yang pelajarnya di bawah tajaan PTPTN, boleh 'gulung tikar' jika PTPTN dihapuskan.

Sehubungan itu, Ismail menafikan tuduhan pembangkang kononnya kerajaan zalim dan menindas rakyat sedangkan pelbagai kemudahan disediakan dalam mengatasi bebanan mereka.

Malah, katanya, PTPTN sentiasa bersedia bertolak ansur dan berunding dengan mana-mana pelajar yang menghadapi masalah untuk melunaskan bayaran balik pinjaman berkenaan.

Tiada ulasan: