Isnin, 16 April 2012

PTPTN: Mahasiswa prodemonstrasi 'khemah' semula di Dataran Merdeka

Wartawan Sinar Harian

khemah

KUALA LUMPUR - Sekumpulan mahasiswa menaikkan semula khemah kecil mereka - kira-kira tiga jam selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengarahkan khemah-khemah yang didirikan di Dataran Merdeka kelmarin dicabut dan mengosongkan kawasan itu.

Mereka berbuat demikian menjelang satu sidang media diatur untuk diadakan kira-kira jam 2 petang ini oleh penganjur demonstrasi mendesak dimansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Di sisi dua khemah kecil itu diletakkan sepanduk-sepanduk meminta pinjaman PTPTN dimansuhkan.

Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini berkata, "mahasiswa hanya berkhemah secara aman tanpa melakukan sebarang perkara yang boleh mengganggu ketenteraman awam."

"Himpunan secara aman ini juga dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan rakyat berhimpun secara aman," ujarnya pada sidang media mereka di Dataran Merdeka.

Mereka berasa amat kecewa dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil sikap "acuh tidak acuh" dan respons Kerajaan Malaysia yang bersifat negatif terhadap tuntutan ini.

Mereka juga ingin semua masyarakat mendengar 'isi hati' generasi muda kini berkenaan dengan isu ini.

Bersempena dengan Konsert Diraja yang akan berlangsung bermula 17 April hingga 21 April di Dataran Merdeka, mahasiswa mengambil inisiatif untuk mengajukan permasalahan yang sedang dihadapi ini kepada Yang di-Pertuan Agong agar perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya.

Mahasiswa akan terus berkampung di Dataran Merdeka dan menanti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan memorandum tuntutan pendidikan percuma dan pemansuhan pinjaman PTPTN.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, yang juga Naib Presiden PKR, menyokong usaha mahasiswa itu.

Beliau turut menyatakan ucapan tahniah kepada aktivis-aktivis kerana keadaan demontrasi tersebut dalam keadaan terkawal.

“Mahasiswa yang berhimpun tidak melibatkan mana-mana parti yang akan bertanding. Isu yang dibangkitkan daripada mahasiswa perlu diambil kira oleh semua pihak termasuklah masyarakat di luar sana," katanya.

Tiada ulasan: