Peluang mengetengahkan isu berkaitan golongan muda jugalah menjadikan pemimpin muda dalam PR sentiasa berpeluang ke hadapan, kata Adun Batu Caves dari PKR, Amirudin Shari kepada Sinar Harian menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.
“Sebagai pemimpin, keyakinan perlu ada dalam diri tetapi keadaan politik semasa perlu dilihat secara menyeluruh sebab orang muda juga ada kelemahan, selepas satu penggal ini, kita melihat bahawa pemimpin muda itu sebagai satu kelebihan.
“Saya percaya kepimpinan PKR sendiri cuba ingin meletakkan lebih ramai calon muda yang bersemangat, jadi saya yakin jumlah kerusi akan bertambah. Paling kurang yang sedia ada akan bertahan dan percaya ada kerusi yang diwakili pemimpin muda muka baru,” katanya.
Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi parti untuk menentukannya.
“Persaingan sihat dan positif adalah penting bagi pemimpin muda dengan pemimpin senior. Mungkin ada pemimpin senior berpengalaman tetapi kadang-kadang mereka terperangkap dalam pengalaman itu.
“Pemimpin muda pula, ada keupayaan mencuba, tetapi kemungkinan percubaan itu boleh jadi gagal kerana kurangnya pengalaman.Tetapi apabila digabungkan pengalaman dan keinginan mencuba, ia akan lebih kreatif,” katanya.
Katanya, pengalaman jatuh bangun dan susah senang bersama dalam menerajui Selangor sejak 2008 menjadikan pemimpin PR sama ada senior atau muda, lebih mudah bekerjasama.
“Dari situ, kita dapat lihat tanpa ada kesepakatan bertulis pun kita boleh menyesuaikan diri dalam semua program, mesyuarat, aktiviti dan sebagainya. Begitu juga usaha memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Malah dalam barisan tertinggi setiap komponen PR, pemimpin muda diberikan kepercayaan dan harapan untuk memegang jawatan penting.
“Pemimpin muda berpeluang menyertai pemimpin senior dalam proses membuat keputusan hinggalah membuat keputusan untuk Kerajaan melalui Dun. Ada lebih 30 peratus perwakilan PR di Selangor terdiri dari golongan muda, ada di bahagian pembuat dasar, undang-undang, bajet dan ini jarang didengari sebelum ini,” katanya.
Pemimpin muda PR diyakini mampu bertahan
Pemimpin muda dalam PKR, Pas dan DAP dilihat lebih bertuah berbanding BN kerana pimpinan tertinggi ketiga-tiga komponen PR ini memberi peranan kepada pemimpin muda untuk terlibat dalam peringkat membuat dasar.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, jika peluang terus diberikan, barisan pelapis ini (pemimpin muda) boleh ke hadapan sebagaimana pemimpin senior yang sedia ada dan sudah menunjukkan kebolehan mereka.
“Kalau diberikan ruang insya-ALLAH pemimpin muda PR boleh mengambil alih tanggungjawab tersebut kelak dan meneruskan legasi kehebatan senior terdahulu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau amat yakin kerusi pemimpin muda PR di Selangor akan bertahan dan tidak menolak kemungkinan untuk mengulangi kemenangan pada PRU12.
“Bila mana anak muda ini berada di peringkat pembuat dasar, bermakna mereka tidak mahu pemimpin muda sekadar berdiri di pinggiran dalam parti. Dalam kata lain, mereka mahu suara dan kehendak anak muda dapat pergi lebih jauh.
“Inilah ruang dan peluang yang diberikan PR kepada kepimpinan muda seperti kami. Kemudian, idea dan input yang segar perlu dibawa anak-anak muda ini untuk memenuhi selera generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, pemimpin muda yang agresif dan bertenaga akan lebih mudah didekati kerana mereka lebih bersifat santai dan ‘sempoi’.
“Dalam bahasa yang lebih mudah difahami, mereka mahu pemimpin muda yang ‘sesiapa sahaja boleh masuk’. Itu kelebihan pemimpin muda PR. Mudah didekati, saya yakin pemimpin muda dalam PR ini mampu mempertahankan aura dan kedudukan mereka,” katanya.
Sebagai golongan muda yang masih jauh perjalanannya, beliau amat berharap jumlah kerusi yang dimenangi pada PRU lalu dapat dikekalkan walaupun dari sudut permintaan anak muda adalah tinggi.
Katanya, walaupun pengundi yang akan membuat keputusan, cadangan, pandangan serta permintaan golongan muda dapat dipertimbangkan pimpinan PR disemua peringkat terutamanya Pas.
“Harapan saya juga, sebagai pemimpin muda dan ahli muda dalam parti, kita kena tonjolkan bahawa kita boleh diberikan kepercayaan, tanggungjawab dan mampu melaksanakannya amanah yang diberikan.
“Kita mestikan lakukan yang terbaik agar pimpinan melihat bakat dan potensi yang ada pada kita, anak-anak muda Pas. Kami mengharapkan pimpinan memberikan ruang dan memimpin untuk diketengahkan sebagai pelapis pimpinan masyarakat,” katanya.
Tampil calon muda dalam kalangan wanita
Dalam usaha mengekalkan kerusi yang sedia ada di Selangor, mungkin pimpinan tertinggi PR boleh mempertimbangkan agar lebih ramai pemimpin muda dalam kalangan wanita untuk menjadi pemimpin rakyat.
Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, usaha menambah wanita dalam barisan kepimpinan mungkin salah satu usaha positif yang boleh memberikan kemenangan kepada PR dalam PRU13 akan datang.
“Selepas PRU 2008, ramai pemimpin muda PR dilantik rakyat di Selangor. Adun muda seperti Jenice Lee, Gan Pei Nei, Amirudin Shari, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ean Yong Hian Wah, Lau Weng San dan saya diberi peluang dalam beberapa Jawatankuasa Terpilih Dewan dan juga menjadi Pembantu Exco.
“Jadi, saya berharap lebih wanita muda akan diberi peluang untuk memimpin di semua peringkat dalam PRU akan datang,” katanya.
Beliau berkata, kerusi DAP tertakluk kepada jawatankuasa tertinggi pusat dan berdasarkan banyak keputusan mereka selama ini, mereka sentiasa memberi ruang kepada pemimpin muda untuk berkembang dan bertukar idea.
Bagaimanapun katanya, segalanya diserahkan kepada rakyat kerana mereka adalah penentu sama ada mereka masih mahu memberi peluang kepada generasi muda untuk memimpin.
Katanya, pemimpin muda DAP tidak perlu menandingi pemimpin senior sebaliknya mereka perlu menghormati jasa dan pengalaman mereka.
“Pengalaman pemimpin senior merupakan pendorong yang banyak memberi semangat dan sokongan kepada kami pemimpin muda untuk terus meningkat naik bagi memastikan kemenangan dalam PRU13 kelak,” katanya.
Dalam pada itu katanya, hubungan rapat dengan PKR dan Pas menjadi kekuatan kepada DAP untuk terus berdiri kukuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan