Ahad, 8 April 2012

PR bergaya ke Putrajaya jika p'raya bersih

Hazayani Zakaria,


SHAH ALAM: Kemampuan PAS melebarkan sayapnya dari kawasan kampung ke bandar-bandar besar membuktikan parti itu kini berupaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 bersama Pakatan Rakyat.

Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, PAS yang pada mulanya bertapak di Pulau Pinang dan merebak ke kawasan yang mempunyai sekolah pondok akhirnya menembusi kawasan bandar, sehingga Shah Alam berjaya menyambut Jubli Peraknya.

"Apabila PAS mula merebak ke kawasan-kawasan yang ada pesantren, ia menjadi tapak kekuatan PAS khasnya di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak Utara. Selangor kalau ada pun sebelah Tanjung Karang dan Sabak Bernam.

"Kita mula merebak masuk ke kota-kota pada tahun 80-an dan 90-an. Di Shah Alam ini pun kita mula bertapak di sekitar kampung iaitu di Meru, Jalan Kebun.

"Sekarang PAS sudah berada di bandar, di taman-taman, Shah Alam, Bangi, Petaling Jaya. Bila kita berada di tempat-tempat ini bermakna kita akan ambil alih pemerintahan Putrajaya," kata beliau dalam ceramahnya di program Munajat Perdana Pertahankan Selangor sempena 25 tahun PAS Shah Alam di Stadium Melawati, dekat sini malam tadi.

Namun Mohamad berkata, hasrat PAS dan Pakatan Rakyat mara ke Putrajaya hanya akan tercapai jika pilihan raya berjalan secara bersih dan adil.

"Kita yakin mampu mara ke Putrajaya dengan gagah dan bergaya, dengan syarat pilihan raya bersih dan adil," katanya.

Justeru beliau berkata, perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini adalah suatu medan untuk menuntut pilihan raya yang bersih.

"Datuk A. Samad Said yang menyambut hari lahirnya yang ke-77 hari ini mengajak orang ramai duduk bantah menuntut pilihan raya bersih.

"Kalau anak muda umur 23 tahun tak turun, malulah," katanya.

Seruan sama turut dibuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan kira-kira 5,000 hadirin.

"Sampai bila kita mahu ditipu dalam sistem pilihan raya? Maka, kena ada kekuatan raksasa rakyat dalam himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini," kata beliau.

Beliau turut mengingatkan jentera Pakatan Rakyat Selangor tidak leka kerana Umno BN mampu menggunakan apa sahaja cara untuk merampas kembali negeri itu.

"Di Selangor, kita jangan ambil mudah. Kalau 2008 Pakatan Rakyat ambil Selangor, tahun 2012 tanggungjawab kita untuk pertahankan Selangor," katanya.

Turut berucap malam tadi ialah Pesuruhjaya Selangor, Dr Rani Osman dan Yang Dipertua Shah Alam, Khalid Samad.

Tiada ulasan: