Isnin, 2 April 2012

Pinjaman Yayasan Terengganu Akan Dilupuskan

Wartawan Buletin

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu berikrar akan melupuskan hutang pinjaman pelajaran yang diberikan oleh Yayasan Terengganu kepada pelajar dan mahasiswa anak negeri Terengganu sekiranya diberi mandat memerintah negeri Terengganu dan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Menurut Pesuruhjayanya Haji Mohd Abdul Wahid Endut, ia akan menjadi manifesto Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) selaras dengan janji Pakatan rakyat yang akan memberikan royalti minyak sebanyak 20% sekiranya menang PRU akan datang

“kita InsyaAllah akan memasukkan janji melupuskan pinjaman Yayasan Terengganu selaras dengan keputusan Pakatan Rakyat yang berhasrat menghapuskan PTPTN,

“jika kita diberi mandat dengan rakyat memilih PAS di Terengganu dan Pakatan Rakyat menang Putrajaya, wang hasil royalti akan bertambah kepada 20% dan dipulangkan kembali kepada rakyat,”ujarnya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai respons, mengulas tindakan Gerakan Mahasiswa Pantau Timur (Gempur) yang menghantar memorandum mendesak Yayasan Terengganu mengembalikan semula pinjaman yang telah ditamatkan kepada sembilan mahasiswa Terengganu di Mesir.

Menurutnya, perkara tersebut telah beliau maklumkan kepada seluruh petugas dan jentera PAS setiap peringkat, ketika lawatan beliau turun bertemu dengan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

[Gambar - Wahid minum petang bersama pendudk kampung Sungai Serai ketika melawat DUN Pengkalan Berangan pada Khamis 29 mac lalu]

Sehubungan itu, katanya, beliau mendapat maklum balas yang cukup baik ekoran sepuluh tawaran manifesto awal PAS Terengganu.

Beliau menegaskan komitmen kepimpinan PAS Terengganu untuk menggantikan Umno pada PRU-13 dan melaksanakan tadbir urus yang lebih baik dan kerajaan negeri yang bebas rasuah.

Katanya, ia telah dibuktikan oleh kerajaan PAS yang memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004

“Saya suka menegaskan kita mempunyai komitmen yang tinggi untuk membawa rakyat Terengganu kepada tadbir urus kerajaan yang lebih baik serta bebas dari penyelewengan dan rasuah,

“tidak ada kedengaran satu kes pun yang melibatkan penyelwengan dan rasuah semasa PAS memerintah Terengganu tahun 1999 hingga 2004,”jelasnya.

Sebaliknya, kata beliau, rata-rata rakyat bercakap tentang soal rasuah dan penyelewengan yang berlaku di kalangan pemimpin Umno dari dahulu hingga sekarang.

Tiada ulasan: