Ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor mencabar BN supaya menyerahkan pentadbiran negara kepada Pakatan Rakyat sekiranya tidak mampu mengurus pendidikan tinggi percuma tanpa pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Katanya Pakatan telah menawarkan formula bahawa hutang PTPTN itu boleh dihapuskan tanpa menjadikan negara muflis dan tanpa membebankan syarikat berkaitan kerajaan.
"Jika BN gagal menyaingi tawaran Pakatan, Pemuda PAS menyarankan supaya BN mengaku kalah serta serahkan sahaja pemerintahan negara ini kepada Pakatan," katanya.
Riduan juga mendakwa, Pemuda Umno gagal memenuhi hasrat anak muda berdasarkan resolusi yang dirumuskan dalam perbincangan meja bulat anjuran pergerakan itu minggu lalu.
Katanya, resolusi berkenaan tidak mampu menyelesaikan permasalahan graduan universiti yang menanggung pelbagai beban hidup ekoran kos pengajian serta hutang dengan PTPTN.
"Pemuda Umno gagal mencari suatu formula bagaimana PTPTN dapat dihapuskan dengan tidak menjejaskan negara.
"Kerana itulah mereka hanya berani mengemukakan cadangan menghapuskan faedah pinjaman, bukan menghapuskan sepenuhnya PTPTN," katanya.
Tambahnya, resolusi itu juga mungkin ditemui kerana "desakan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13" bagi menghadapi tuntutan Pakatan untuk menghapuskan hutang berkenaan.
"Jika tidak, usah bermimpi Pemuda Umno berusaha untuk mencari jalan membincangkan isu PTPTN," katanya.
Ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin telahpun menyahut cabaran pengarah strategi PKR Rafizi Ramli untuk berdebat pada 5 Mei berdasarkan pendirian dan juga hasil perbincangan masing-masing bersama pihak berkepentingan, Rabu lalu.
Resolusi rundingan Pemuda Umno antara lainnya menggariskan supaya tindakan penyenaraian hitam dan bayaran perkhidmatan satu peratus ke atas peminjam dimansuhkan.
Ia turut menuntut supaya bayaran pinjaman mula dibuat apabila peminjam telah berkhidmat melebihi enam bulan atau telah mempunyai pendapatan RM3,000 ke atas, bagi menjamin tempoh kelegaan peminjam.Pakatan Rakyat pula melalui pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli membentangkan rancangan untuk menghapuskan langsung pinjaman melalui PTPTN denganmembuat pelaburan tetap hasil minyak yang dikawal Petronas sebanyak RM2 bilion setahun.
Pengarah strateginya Rafizi Ramli berkata, jika perkara itu dapat dilakukan, pinjaman sedia ada berjumlah RM24.7 bilion kepada mahasiswa dapat dilupuskan dalam tempoh 15 tahun.
Menurut Rafizi, pelaburan RM2 bilion setahun daripada hasil minyak tidak besar kerana sejak penubuhannya, Petronas membelanjakan RM431 bilion kepada kerajaan, yang sebahagian besar hasilnya selama ini disumbangkan ke bidang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan