Sabtu, 7 April 2012

PAS lipat ganda sebar Harakah selepas dikoyak

Harakahdaily,


KUANTAN:
Tindakan Umno Putrajaya mengoyak akhbar Harakah mencerminkan ketakutan mereka kepada rakyat yang mendapat maklumat sebenar terhadap sesuatu isu yang berlaku, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

“Inilah yang ditakuti mereka. Belum pernah kita dengan ada pihak yang membakar atau mengoyak akhbar kerana ianya diberi secara percuma. Ini agaknya yang dikatakan buang tabiat, sebagai petanda awal sesuatu itu nak mati,” kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Usaha PAS Putrajaya untuk menyebarkan fikrah PAS melalui pengedaran Harakah secara percuma kepada penduduk di kawasan pentadbiran Kerajaan Persekutaun itu mula memberikan kesan dan meresahkan Umno.

Ini menyebabkan Umno Putrajaya bertindak mengoyak Harakah di Presint 8 kelmarin.

Tuan Ibrahim menyifatkan tindakan Umno Putrajaya itu aneh dan mencerminkan ketakutan mereka terhadap tahap keyakinan rakyat kepada Harakah.

“Dari tinjauan dan kajian umum kita dapati ramai dari kalangan penduduk menerimanya dengan hati terbuka dan mula berminat dengan Harakah. Inilah yang ditakuti oleh mereka. Mereka takut pembohongan mereka dalam media perdana diketahui oleh rakyat, menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada Umno BN,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Sehubungan tindak-balas Umno itu, Tuan Ibrahim berkata PAS akan menggerakkan seluruh jentera parti untuk melipatgandakan usaha penyebaran risalah bagi menyedarkan rakyat betapa perlunya perubahan pimpinan negara dalam pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Putrajaya, Uzir Abdullah berkata beliau bersama petugas PAS di sana mengedarkan 1,000 hingga 1,500 akhbar Harakah setiap minggu secara percuma kepada penduduk Putrajaya.

Ia diedarkan dari rumah ke rumah untuk memberikan maklumat tambahan kepada penduduk di kota pentadbiran negara yang kebanyakannya didiami oleh kakitangan kerajaan itu.

Tiada ulasan: