Selasa, 3 April 2012

Pakatan gesa lima masalah PRU tidak diselesaikan PSC diberi perhatian

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dari Pakatan Rakyat menggesa lima masalah pilihan raya yang masih belum diselesaikan PSC diberikan perhatian sewajarnya di Parlimen.

Mereka memohon agar satu Laporan Minoriti dimasukkan dalam laporan PSC untuk menjelaskan masalah itu.

Permohonan itu dikemukakan Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Bin Ali; Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook; dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Bin Md Ramli.

Permohonan itu dibuat melalui pindaan kepada usul oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menurut Peraturan Mesyuarat 30 (1), seperti dilapor HarakahDaily.

Lima masalah dan penyelesaiannya yang dibentangkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu adalah seperti berikut:

1) Membetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen.

Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengakui bahawa proses yang silakukan menyalahi peruntukan undang-undang.

Tindakan segera perlu diambil untuk mengembalikan pengundi-pengundi yang terjejas ke kawasan mengundi DUN dan Parlimen mereka pada PRU ke-12. Proses ini perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2) 42,000 pengundi meragukan yang masih belum dibersihkan SPR.

Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengambil tindakan membersihkan senarai itu dan mengeluarkan nama-nama pengundi ragu dalam tempoh 15 hari daripada laporan ini dibentangkan di Parlimen.

3) Nama pengundi melebihi 100 tahun.

Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyiasat dengan terperinci nama warga emas berusia lebih 100 tahun ini dan seterusnya membersihkan nama-nama tersebut daripada daftar pemilih dalam tempoh 30 hari.

4) Pengundi ragu yang menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina.

Mereka mengesyorkan supaya SPR menyemak nama-nama tersebut dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan seterusnya membersihkan senarai tersebut daripada daftar pemilih dalam tempoh 30 hari dari laporan ini dibentangkan di Parlimen.

5) Isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos.

Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengeluarkan semua nama isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos dan dimasukkan semula dalam daftar pemilih sebagai pemilih biasa dalam tempoh 15 hari selepas laporan ini dibentangkan di Parlimen.

Tiada ulasan: