Khamis, 26 April 2012

NGO Tanah: Siasat kejadian simbah cat rumah Mazlan Aliman

FREE MALAYSIA TODAY

Perbuatan tidak bermoral ini berkemungkinan ada kaitan dengan cadangan Tanah menganjurkan suatu Himpunan Tanah Rakyat pada 5 Mei depan di Plaza Angsana, Johor Bahru.



PETALING JAYA: Gabungan Tanah Rakyat (Tanah)  kesal dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mengancam dengan menyimbah cat berwarna merah di rumah Pengerusinya, Mazlan Aliman yang juga Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak).

Perbuatan tidak bermoral ini berkemungkinan ada kaitan dengan cadangan Tanah menganjurkan suatu Himpunan Tanah Rakyat pada 5 Mei depan di Plaza Angsana, Johor Bahru, kata Setiausaha Tanah, Suhaizan Kaiat.

“Antara tuntutan Tanah  adalah menuntut kembali Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, menyiasat penyerahan tanah KTM Tanjung Pagar, menghentikan pemberian tanah kepada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ)/ kroni dan merampas tanah penyeleweng,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kejadian menyimbah cat disedari oleh isteri Mazlan pada jam 3.30 pagi selepas beliau balik daripada suatu program ceramah di Parit Sulong.

Kata Suhaizan yang juga ketua Pemuda PAS neegri, isteri beliau terhidu bau cat minyak di belakang rumahnya di Felda Bukit Ramon, Kulai Johor.

Kejadian ketiga dalam seminggu


Kejadian ini merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh seminggu di negeri Johor.

Pertama berlaku pada 19 April di Markaz PAS Air Merah, Mersing dan keduanya pada 22 April di kedai makan Setiausaha Persatuan Anak Pengerang (PAP), Azhar Mansor.

Semalam Mazlan dalam kenyataannya kepada media akan menurunkan 10, 000 ahli dan penyokong ke Dataran Merdeka pada Sabtu sebagai tanda sokongan kepada Himpunan Bersih 3.0.

Tanah  akan bekumpul di Menara Maybank jam 1.30 petang kemudian berarak secara beramai- ramai ke Dataran Merdeka.

Tanah mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap motif kejadian dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian ini.

Tiada ulasan: