MALAYSIA KINI
Presiden NGO Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, arahan supaya pegawai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membenarkan jentera pilihan raya BN memasang bendera di stesen komuter merupakan tindakan "kebudak-budakan."
Katanya lagi, tindakan itu juga akan menjadi bahan ketawa pengamat politik luar kerana menunjukkan "kerendahan pemikiran parti politik menghina minda rakyat.""Rakyat pasti tidak dapat menerima kegelojohan parti politik yang memenuhi bendera ditempat awam bertujuan berkempen kerana ia seperti tindakan kebudak-budakan," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Azmi mengulas laporan Malaysiakini berhubung arahan yang dikatakan dikeluarkan pengerusi KTMB Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed supaya pegawai terlibat membenarkan jentera pilihan raya BN memasang bendera itu.
Mohd Zin yang juga merupakan koordinator BN Selangor dalam arahan itu turut dikatakan meminta supaya pegawai berkenaan memelihara bendera berkenaan daripada dibuang atau disabotaj.
Katanya lagi, perang bendera seperti itu harus terbatas dan memadai jika bendera parti itu hanya digantung di tepi jalan dengan mematuhi peraturan ditetapkan.
Beliau turut menyuarakan tuntutan supaya pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya mengawal parti politik daripada mencemari kawasan awam dengan menggantung bendera.
Katanya, tindakan sepert itu mengganggu keselesaan orang awam.
"Membenarkan semua tempat dipenuhi dengan bendera parti amat mencemarkan pemandangan dan menunjukkan ketidakmatangan di pihak parti yang berkenaan," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan