Ahad, 8 April 2012

Nazir diserang ketika mesyuarat pilih JK masjid

Muhammad faizal,


KAJANG: Seorang nazir masjid di Bandar Baru Bangi lebam di mata selepas diserang seorang pemuda yang dipercayai tidak berpuas hati dengan proses pemilihan jawatankuasa masjid.

Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.45 pagi tadi ketika Mohd Abd Basir Alias (gambar), 45, Nazir Masjid As-Solehin Teras Jernang baru sahaja memulakan mesyuarat agung tahunan pemilihan jawatankuasa di masjid berkenan.

Tiba-tiba, beliau didatangi sekumpulan pemuda yang juga ahli qariah di situ yang memarahinya sambil bercakap kasar dan menunjukkan jari ke mukanya.

Dalam suasana kecoh itu, salah seorang dari mereka tiba-tiba menghantukkan kepala kepada Abd Basir. Akibat tindakan itu, mata beliau bengkak dan lebam.

Selepas beberapa ketika difahamkan Pegawai Tadbir dari Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat tiba di situ bagi menenangkan suasana sekaligus menangguhkan mesyuarat itu ke suatu tarikh yang lain.

Abd Basir yang bimbang keselamatannya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini.

Beliau dilihat bersama peguam Ahmad Denial Roslan membuat laporan polis itu kira-kira jam 10.20 pagi.

Bercakap kepada Harakahdaily selepas membuat laporan polis pagi tadi, Abd Basir meluahkan rasa kecewa dengan insiden yang menimpanya hari ini.

"Saya tidak menjangkakan beliau akan menggunakan kepala sebab saya dah bersedia untuk mengelak jika beliau bertindak memukul saya menggunakan tangannya.

"Ini sesuatu yang sangat dikesalkan. Sebarang unsur samseng dan keganasan tidak sepatutnya ada di masjid," luahnya kecewa lebih lebih lagi ianya berlaku dalam masjid.

Selain itu beliau yang telah empat tahun menjadi nazir di masjid itu juga kecewa kerana mesyuarat yang dirancang sejak sekian lama terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan.

"Tujuan saya buat laporan polis ini adalah kerana mahu pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas lelaki tersebut serta bimbang keselamatan diri saya,"katanya lagi.

Turut hadir memberi sokongan moral di balai polis pagi ini termasuk AJK PAS Pusat Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Sementara itu, peguam Ahmad Denial menjelaskan kes tersebut dijangkakan akan disiasat di bawah Seksyen 323 (Kanun Keseksaan) yang menyebabkan kecederaan.

"Abd Basir telah dicederakan dengan sengaja di mata kanannya lebam apabila dihantuk dengan kepala oleh seorang individu yang dikenalinya.

"Kita berharap pihak polis dapat mengambil tindakan yang tegas terhadap individu tersebut kerana terdapat bukti dan saksi yang mengesahkan kejadian tersebut," jelasnya.

Difahamkan Abd Basir akan membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Kajang berhubung kecederaan yang dialami olehnya selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis

Tiada ulasan: