Selasa, 24 April 2012

Nalla serah pita video bukti kes saman Anwar

SINAR HARIAN

Anwar_Ibrahim
KUALA LUMPUR - Presiden Parti India Malaysia (MUIP) Senator Datuk S.Nallakaruppan hari ini menyerahkan satu pita video kepada peguamnya yang beliau dakwa mengandungi bukti dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyerahkan pita itu kepada Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini kira-kira 2 petang.

"Saya sudah bagi pita video itu kepada peguam saya sebagai bukti dalam kes saman ini. Apa jua bukti yang saya ada, saya sudah beri pada peguam saya. Saya mahu mereka tayangkan video itu di mahkamah. Biar mahkamah yang putuskan," katanya.

Beliau, bagaimanapun, enggan mendedahkan kandungan pita video itu.

"Saya akan berpegang teguh kepada fakta saya, saya tidak akan melarikan diri. Saya sudahpun memberi bukti kepada peguam saya. Saya kini menunggu untuk memberitahu perkara sebenar kepada mahkamah," katanya.

Beliau juga mahu kes itu didengar secepat mungkin di mahkamah.

Pada 26 Mac, Ketua Pembangkang itu memfailkan saman terhadap Nallakaruppan berhubung perkataan-perkataan yang mencemarkan nama baiknya melalui kenyataan yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada 20 Mac.

Beliau turut menamakan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd sebagai defendan kedua dan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar berkenaan, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan ketiga.

Anwar mendakwa perkataan-perkataan fitnah yang terkandung dalam artikel akhbar itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat. - Bernama

Tiada ulasan: