Ahad, 22 April 2012

Najib umum Teng Chang Yeow sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang ganti Tsu Koon


Teng Chang Yeow
 
Teng Chang Yeow

GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Teng Chang Yeow sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang baru, menggantikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Chang Yeow adalah Setiausaha Agung Parti Gerakan.
Najib mengumumkan demikian selepas mengadakan perjumpaan Bersama Jentera BN negeri sempena lawatan seharinya ke Pulau Pinang di Bukit Jawi Golf Club, di sini, pagi ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan 345 PDM di seluruh Pulau Pinang.

Najib berkata lantikan terhadap bekas Exco kerajaan negeri yang juga bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar itu akan berkuat kuasa hari ini.

"Saya umumkan pelantikan Teng Chang Yeow sebagai pengerusi BN Pulau Pinang yang baharu dan beliau akan ambil alih dan memikul tanggungjawab itu mulai hari ini.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Gerakan Negeri Datuk Dr Teng Hock Nan kerana faham bahawa inilah realiti politik, walaupun beliau sendiri telah banyak memberi sumbangan dan tenaga kepada parti selama ini," katanya.

Pada November tahun lepas, Koh yang juga Presiden Gerakan mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 nanti dan dengan itu dirumuskan bahawa beliau pada prinsipnya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi BN Pulau Pinang.

Najib berkata pelantikan Teng sebagai pengerusi BN Pulau Pinang yang baharu juga sebagai pemangkin kepada kekuatan jentera BN khususnya di negeri ini yang memerlukan pembaharuan.

Pembaharuan ini bererti bahawa semua pihak harus bekerjasama dan bermuafakat serta boleh bekerja sebagai satu pasukan untuk mengukuhkan parti, katanya.

"Dalam konteks Pulau Pinang ini, kita perlu kepada pembaharuan dan sebab itulah bila saya berbincang dengan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, beliau sedar hakikat ini dan sebab itulah beliau umumkan tak akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini dan beliau beritahu akan tamatkan perkhidmatan dalam kerajaan sebab beliau tahu realitinya begitu.

"Terima kasih Koh Tsu Koon," kata Perdana Menteri.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan. - BERNAMA

Tiada ulasan: