Isnin, 2 April 2012

Najib tutup jenayah, lindungi peranan kongsi gelap dalam polis?


Oleh: Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Datuk Seri Najib Razak akan dilihat cuba melindungi kes jenayah yang dikaitkan dengannya jika tiada siasatan dilakukan terhadap penglibatan kongsi gelap dalam institusi polis.

Beliau mengulas laporan bahawa ketua penjenayah mempengaruhi kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan polis, ketika pasukan itu berada di bawah penguasaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

“Datuk Seri Najib tidak mengambil langkah positif untuk mengadakan sebuah tribunal bagi menyiasat kes ini.

“Apakah dia berbuat demikian supaya kesalahan jenayahnya juga ditutup oleh pihak polis? Itu persepsi yang akan dibina jika tiada siasatan dilakukan terhadap puluhan jenayah salahguna kuasa dalam pasukan polis,” tegas Shamsul.

Dakwaan terbaru itu mengaitkan Musa dengan tokoh jenayah, BK Tan – yang mempunyai kaitan dengan ketua kongsi gelap Johor, Tengku Goh.

Malaysiakini baru-baru ini melaporkan, Musa meminta nasihat daripada Tan, bahkan Tan juga pernah mengunjungi rumahnya di Petaling Jaya bagi menasihatinya mengenai pelantikan dan pertukaran pegawai PDRM.

Suara Keadilan difahamkan, sumber tersebut sangat kuat dan boleh dipercayai.

Kata Shamsul, tuduhan jenayah membabitkan Musa bukan baru kerana sebelum ini ia turut didedahkan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff.

“Mereka adalah tokoh dalam polis yang mendedahkan kepada rakyat terdapat penyalahgunaan kuasa, termasuk usaha bersekongkol dengan penjenayah dalam mengatur kepimpinan polis di peringkat tertinggi.

“Ia jadi lebih parah apabila pendedahan ini dilakukan oleh pegawai kanan polis, termasuk pegawai khas Musa sendiri,” kata Shamsul.

Tambahnya, ia bukti bahawa kerajaan perlu membuka semula siasatan dan cadangan untuk mewujudkan satu tribunal bagi menyiasat salahgunakuasa dalam institusi polis.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar perlu membuat pendirian rasmi kerana dakwaan berkenaan menjejaskan imej PDRM dan membantutkan usaha mengurangkan jenayah yang semakin berleluasa.

“Pegawai kanan polis sekarang perlu membuat satu pendirian yang jelas supaya satu siasatan menyeluruh boleh dilakukan terhadap Musa,” tegasnya.

Tiada ulasan: