Isnin, 16 April 2012

Muslimat PAS cabar Najib tangguh penyenaraian FGVP hingga selesai PRU 13

Aiman Athirah al Jundi


Setelah telah mengikuti perkembangan isu-isu FELDA khususnya agenda Penyenaraian Felda Global Ventures Holding atau kini ditukar sebagai Felda Global Ventures Plantation (dalam usaha mjayakan agenda penyenaraian) di Bursa Malaysia, saya ingin mencabar Perdana Menteri Malaysia yang katanya mendahulukan rakyat ini:

1. Segera menjelaskan kepada rakyat apakah benar kerajaan akan memperolehi RM21 bilion tunai selepas penyenaraian ini?

2. Apakah benar bahawa aset keseluruhan FELDA bernilai RM21 billion, dan umum menilai usaha penyenaraian ini sama maksud dengan tindakan menjual FELDA kepada pihak yang akan "membayar RM21 bilion" kepada kerajaan?

3. Pihak luar manakah yang sangat berminat untuk memperolehi saham FELDA selepas ia disenaraikan?

4. Umum tahu bahawa bila bercakap soal FELDA ia langsung terkait dengan isu tanah dan pemilikan sejumlah besar tanah negara ini yang boleh dikategorikan sebagai tanah pertanian yang subur, maka apakah negara di bawah pentadbiran Najib langsung tidak peka dan tidak ambil kisah akan hal ini yang sewajarnya diragui akan mendedahkan Malaysia kepada campur tangan asing melalui strategi yang sangat halus?

5. Apakah Najib, Ahmad Maslan dan Isa Samad mahu menjadi proksi atau agen asing kepada "penjualan" sejumlah kepentingan FELDA kepada kuasa asing yang berselindung di sebalik topeng syarikat konglomerat dan korporat besar dan dengan menjaja semboyan atas nama kemajuan dan pengupayaan FELDA ke peringkat antarabangsa kononnya?

6. Isu penyenaraian FGVP kini bukan lagi sekitar isu peneroka dan tanah perladangan tetapi ia mesti dilihat sebagai isu kedaulatan dan keselamatan negara!

7. Umum melihat Barisan Nasional di bawah Pentadbiran Najib kini sangat terdesak untuk mendapatkan sejumlah wang RM21 bilion tadi (yang akan diperolehi selepas "menjual FELDA") untuk kegunaan kempen PRU13 BN yang umum tahu sebagai PRU yang menentukan "hidup mati UMNO-BN".

Maka saya dengan ini MENGGESA dan MENCABAR Pentadbiran Najib sebagai bukti kejujuran dan keikhlasan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" untuk SEGERA MENANGGUHKAN agenda Penyenaraian FGVP sehingga selesai PRU13 untuk BN terlebih dahulu usaha mendapatkan mandat besar rakyat melalui PRU13. Jika tidak, rakyat Malaysia seluruhnya akan berhadapan dengan PRU13 dgn SATU kepercayaan bahawa PRU13 ini bukan lagi satu PRU "biasa" yang berkait soal pengundian parti-parti tertentu sahaja tetapi perjuangan kita semua bagi membebaskan Malaysia daripada "penjajahan BN" yang kini terdesak sehingga sanggup "menjual" sejumlah kepentingan negara bagi mendapatkan wang untuk membolehkan BN mempertahankan survivalnya yang kini semakin diragui dan tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat Malaysia!

*Kenyataan media oleh Aiman Athirah al Jundi (gambar kiri), selaku Ketua Penerangan Muslimat Malaysia.

Tiada ulasan: