Khamis, 26 April 2012

Muhyiddin: Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus bersikap lebih terbuka

SINAR HARIAN

Muhyiddin Yassin



BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ditadbir oleh pakatan pembangkang perlu bersikap lebih terbuka khususnya kepada pemimpin yang mempunyai jawatan dalam kerajaan pusat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak seharusnya melakukan sesuatu yang menghalang penganjuran majlis sehingga menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

"Saya ada peranan dan tanggungjawab hendak berjumpa dengan rakyat untuk menyampaikan cerita dan dasar-dasar kerajaan, bukan untuk kepentingan diri sendiri atau politik semata-mata tetapi untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian 'My Carnival NGO 1Malaysia' di Politeknik Seberang Perai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden khemah untuk program kenduri rakyat 1Malaysia di Persiaran Mahsuri Bayan Baru di sebelah pulau dihalang pembinaanya oleh exco kerajaan negeri sebanyak dua kali.

"Untuk tujuan itu (menghalang penganjuran majlis) adalah sesuatu yang tidak berapa manis, dia (kerajaan negeri) halang, walaupun begitu majlis dapat diteruskan dan saya telahpun dapat sampaikan perkara yang perlu kepada rakyat," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: