Jumaat, 13 April 2012

MiMBAR Bantu 40% Rakyat Selangor Berniaga




SHAH ALAM : Program Pembiayaan Mikrokredit MiMBAR Selangor yang berlangsung hampir setahun kini mula menampakkan hasil.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata program ini berjaya membantu hampir 40 peratus rakyat Selangor yang ingin memulakan perniagaan.

Katanya, MiMBAR Selangor yang merujuk kepada Skim Mikrokredit Miskin Bandar menyediakan khidmat nasihat, fasilitator dan segala keperluan peniaga dan usahawan yang ingin memohon pinjaman kecil bagi menampung perniagaan mereka.

Jelasnya lagi, pembiayaan yang diberikan ini bukanlah suatu bantuan yang besar tetapi lebih kepada membantu meringankan beban yang ditanggung peniaga untuk membuat modal pusingan.

“Program yang kita anjurkan ini lebih menumpukan kepada bantuan sokongan yang diperlukan kebanyakan peniaga kecil dan usahawan untuk mereka berdikari selepas ini,” jelas beliau di Program Kursus Pra Kelulusan Peserta dan Pelancaran Produk MiMBAR di Dewan Banquet MBSA hari ini.

Turut hadir di program tersebut ialah Adun Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam, Adun Meru, Abdul Rani Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif MiMBAR, Azily Othman.

Tambah Rodziah, program yang dianjurkan MiMBAR Selangor ini mula mendapat perhatian daripada universiti-universiti di Malaysia di mana ia mula dijadikan rujukan dan kajian dari segi ekonomi dan seterusnya menaikkan imej Kerajaan Selangor.

“Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan yang terbaru Universiti Utara Malaysia (UUM) memulakan kajian mengenai program yang dijalankan oleh MiMBAR Selangor,” katanya.

Selain itu, Rodziah turut menafikan kenyataan Umno-BN yang menyatakan bahawa Selangor akan muflis jika terlalu memberi kemudahan yang berlebihan kepada rakyat di negeri ini.

“Selangor menyumbang hampir 30 peratus dalam KDNK negara dan berjaya meningkatkan simpanan tunai kepada RM1.9 bilion, ini membuktikan dengan sistem pentadbiran yang adil dan telus, maka rakyat boleh menikmati hasil yang sepatutnya,” katanya yang juga merupakan Adun Batu Tiga.

Sementara itu, peserta MiMBAR Mohd Nizam Abdul Hamid, 29, berkata, beliau menyertai skim ini bagi membiayai modal pusingan serta membantu kos pembelian barangan.

“Skim ini banyak membantu kami bagi memulakan perniagaan dengan memberikan pinjaman tanpa faedah serta khidmat nasihat,” ujar Nizam ketika ditemui selepas sesi penyampaian surat tawaran mikrokredit di Dewan Banquet MBSA hari ini.

Beliau yang menjalankan perniagaan losyen dan minyak wangi secara kecil-kecilan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana berjaya menganjurkan skim yang boleh membantu golongan berpendapatan rendah untuk memulakan perniagaan.

Tiada ulasan: