Isnin, 9 April 2012

‘Mansuh RM1.5 bilion PTPTN IPTS Pakatan’

Menteri Pengajian Tinggi mencabar Pakatan Rakyat melaksanakannya tanpa perlu menunggu mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada PRU13.


Sekitar Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat perlu menampung kira-kira RM1.5 bilion untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) jika serius mahu memberikan pendidikan universiti percuma kepada rakyat di bawah negeri pentadbirannya.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata jumlah itu melibatkan tiga Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Kedah dan Selangor, iaitu Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang berjumlah RM258.45 juta, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) (RM369.98 juta) dan Universiti Industri Selangor (Unisel) (RM851.29 juta).

Sehubungan itu, beliau mencabar Pakatan Rakyat melaksanakannya tanpa perlu menunggu mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang (PRU13).

“Kita tak menghalang kerajaan negeri (Pakatan) laksanakannya jika mampu.

“Kalau mereka betul-betul ada formula yang baik mereka boleh mulakan dengan IPTS yang mereka kuasai,” katanya dalam sidang media di
Parlimen hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin berkata pemansuhan PTPTN akan menjadi beban kepada kerajaan kerana perlu menanggung jumlah pinjaman RM43 bilion.

Menurut Najib, ini memandangkan 90 peratus kos pengajian telah ditanggung oleh kerajaan dan hanya 10 peratus yuran dibayar oleh penuntut menerusi pinjaman PTPTN.

Selain itu, Khaled menegaskan status tiga universiti terbabit juga tidak akan berubah sama sekali jika pentadbitan kerajaan Pusat bertukar tangan kepada Pakatan memandangkan ia pada asalnya ditubuhkan di bawah Akta 555 Penubuhan IPTS 1996.

Beliau turut mempertahankan penangguhan Pilihan Raya Kampus atas alasan mahu membuat penyeragaman dengan pengambilan pelajar semester baru pada September nanti.

“Tiada gunanya kalau pelajar semester akhir mengundi atau dipilih menjadi pemimpin sebab mereka akan meningalkan universiti pada semester akan datang,” katanya.

Kementerian Pengajian Tinggi menangguhkan Pilihan Raya Kampus di IPTA dan IPTS yang sepatutnya dijadualkan April ini kepada September depan dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pelajar terutamanya kumpulan Pro-Mahasiswa.

Turut baca:

Kenyataan Najib mengenai PTPTN mengelirukan

Tiada ulasan: