Rabu, 11 April 2012

Man Kuchai penjenayah berbahaya



KERATAN Kosmo! 7 April 2012.

KOSMO ONLINE

KUALA LUMPUR - Man Kuchai, penjenayah yang meloloskan diri dari lokap Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Jumaat lalu adalah individu berbahaya kerana dia dipercayai memiliki pistol dan bersikap agresif apabila terdesak.

Suspek yang merupakan ketua kumpulan penjenayah sempena nama gelarannya Man Kuchai itu didapati banyak terlibat dalam kegiatan samun bersenjata dan rompakan premis perniagaan 24 jam di sekitar ibu negara.

Modus operandi penjenayah Man Kuchai adalah menyamar sebagai pegawai polis atau melanggar belakang kereta mangsa sebelum menyamun mangsanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, Man Kuchai atau nama sebenarnya Mohd. Redzuan Abd. Rahman, 33, dianggap penjenayah berbahaya kerana dia merupakan seorang yang agresif dan sanggup mencederakan mangsa ketika melakukan samun.

"Pada 6 April lalu, Man Kuchai sepatutnya dibicarakan bagi empat kesalahan jenayah melibatkan kes samun dan menyamar sebagai penjawat awam di Cheras, Brickfields dan Dang Wangi.

"Man Kuchai semasa itu dibawa dari Penjara Sungai Buloh bersama 45 tahanan lain ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta namun dia berjaya melarikan diri sebelum dibicarakan," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Akhbar pada Sabtu lalu melaporkan, suspek itu melarikan diri dari kompleks mahkamah selepas berjaya mengeluarkan tangan daripada gari semasa menyimpan barang dalam loker di lokap mahkamah.

Tiada ulasan: