Rabu, 18 April 2012

Malaysia kembali ke era perisikan 1960an

 
 
Ketiadaan kemudahan ikat jamin, pemalsuan saksi dan bukti merupakan antara perkara yang dibimbangi oleh Ahli Parlimen Beruas. 

 

Sekitar Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR: Akta Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang diluluskan hari ini telah membawa Malaysia kembali ke era perisikan yang dipelopori Kesatuan Soviet Rusia dan China.

“Perdana Menteri Najib Tun Razak telah membawa Malaysia kembali ke era 1960an di mana agensi perisikan Kesatuan Soviet mengawasi rakyat,” kata Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dari DAP semasa sidang media di Parlimen tengah hari tadi.

Beliau berkata begitu ketika mengulas berkenaan akta yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

“Antara perkara yang kami pertikaikan adalah ketiadaan kemudahan ikat jamin kepada mereka yang didakwa,” kata Ngeh.

Beliau yang berprofesion sebagai peguam selama 18 tahun berkata bahawa penahanan boleh dibuat walaupun selepas Mahkamah Rayuan membebaskan tertuduh.

Selain itu beliau mendakwa bahawa bukti dan saksi palsu boleh digunakan dan menyalahgunakan akta ini.

Mengancam sistem demokrasi berparlimen 


Beliau turut mempertikaikan frasa mengancam sistem demokrasi berparlimen.

“Dalam kes Perak, Najib sepatutnya didakwa di bawah Akta Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Namun kami nyaris ditahan walaupun kami mempertahankan sistem demokrasi berparlimen di Perak,” kata Ngeh sambil merujuk kepada peristiwa kejatuhan negeri Perak pada Februari 2009.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS turut mengkritik akta baru ini.
“Jika kerajaan benar-benar mahu mengawal keganasan, kenapa Kanun Keseksaan, Kanun Aturcara Jenayah dan Akta Keterangan tidak dipinda?,” soal beliau.

Bab 6A Kanun Keseksaan, menurut beliau, mempunyai definasi yang lebih terperinci untuk kegiatan keganasan.

Beliau menambah bahawa akta baru yang digubal di bawah Akta 149 dan 150 mengurangkan beban pembuktian yang didokong di bawah Akta Keterangan.

Ahli Parlimen Teluk Intan M Manogaran dari DAP yang turut berada di sidang media tersebut menambah akta baru ini memperkecilkan kuasa hakim.

Tiada ulasan: