Ahad, 22 April 2012

Lebih 10 Ribu Rakyat Selangor Sudah Dapat Tanah Sendiri





HULU LANGAT : Lebih 10 ribu penduduk di Selangor sudah menerima notis borang 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah, menerusi program kediaman persendirian.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah berusaha sebaik mungkin bagi memenuhi setiap permohonan untuk memiliki tanah sendiri yang telah diduduki selama puluhan tahun.

“Pada Pilihanraya 2008, pengundi di Selangor memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir, jadi rakyat mesti dibela,” ujarnya ketika memberi ucapan di Majlis Penyampaian Notis Borang 5A Kampung Sungai Makau Hulu Langat disini hari ini.

Sebanyak 55 orang penduduk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat  menerima notis borang 5A dan 29 orang penduduk Kampung Bahagia, Bangi menerima surat hak milik tanah yang disampaikan oleh Abdul Khalid sendiri.

Menerusi usaha ini, kerajaan negeri memberi hakmilik tanah dengan bayaran premium fleksibel bagi memudahkan rakyat memiliki kediaman sendiri.

Menurut Abdul Khalid, setiap permohonan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk penelitian dan keputusan mesyuarat ini adalah berdasarkan kelayakan pemohon tanah tersebut.

“Pemohon yang terpilih bukannya kerana mereka menyokong Pakatan Rakyat, ataupun kroni Exco tetapi kerajaan negeri mengamalkan prinsip tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab tanpa mengira perbezaan bangsa, agama atau fahaman politik,” tegasnya lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri memulakan pusat maklumat tanah bersepadu bagi membolehkan pemilik tanah memeriksa dan mengemaskini status, lokasi dan hal-hal yang berkaitan urusan tanah.

Bagaimanapun, beliau menyeru kepada semua pemohon yang diluluskan pemberimilikan ini agar menjelaskan bayaran premium dalam tempoh ditetapkan.

“Saya harap setiap pemohon sudah mengetahui tatacara pembayaran premium ini dan boleh mendapatkan maklumat pembayaran dari Pejabat Daerah kawasan masing-masing,” katanya.

Tiada ulasan: