Selasa, 17 April 2012

KWSP Sasar Melabur Sehingga 23 Peratus Di Pasaran Antarabangsa

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggiatkan pelaburan dalam ekuiti dan pendapatan tetap di luar negara sebagai sebahagian daripada strategi mempelbagai pelaburan, selaras dengan mandat yang telah diberikan Kerajaan kepada KWSP untuk melabur sehingga 23 peratus daripada aset pelaburannya di pasaran antarabangsa.

Berucap pada Majlis Anugerah Pengurus Portfolio KWSP 2011, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata prestasi ekuiti dan pendapatan tetap di luar negara berjaya menjana pendapatan yang baik untuk pencarum pada 2011 bagi membolehkan KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.00 peratus membabitkan bayaran dividen sebanyak RM24.47 bilion walaupun KWSP mengekalkan profil risiko pulangan konservatif.

"KWSP merupakan tonggak kedua untuk persaraan hari tua bagi pekerja sektor swasta di Malaysia. Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan kepada lebih 13 juta pencarum KWSP, tugas menguruskan hampir setengah trilion Ringgit simpanan persaraan ini merupakan satu tanggungjawab yang berat," katanya.

Beliau berkata dengan memberikan tumpuan kepada pelaburan luar negara, ia akan melengkapkan pelan pelaburan jangka panjang KWSP dan memberikan kadar pulangan yang munasabah kepada simpanan pencarum.

"KWSP menghadapi kekangan dalam pasaran domestik disebabkan produk pelaburan dan kecairan yang terhad untuk didagangkan dalam jumlah yang besar. Selain daripada mengurangkan risiko dalam pasaran domestik, pelaburan luar negara menawarkan peluang yang lebih tinggi untuk memperoleh keuntungan dalam jangka panjang," kata Samsudin.

Pada 2011, tambahan sebanyak US$5.54 bilion nilai pelaburan dalam mandat pelaburan luar negara telah dibuat dan secara kumulatif, modal yang telah disuntik dalam pelaburan bukan Ringgit setakat akhir tahun 2011 berjumlah kira-kira US$17 bilion.

Setakat 31 Disember 2011, jumlah pendedahan KWSP dalam aset pelaburan global (dari segi kos) ialah 13.37 peratus daripada jumlah aset.-- BERNAMA

6 ulasan:

John Winchester berkata...

Harus memberi jaminan wang KWSP para pekerja tidak terjejas

Green Sabah berkata...

KWSP must make sure the investment prospects are profitable and safe as these are the people's retirement fund.

Green Sabah berkata...

A successful investment will allow KWSP to repay higher dividends to the KWSP contributors.

Tanpa Nama berkata...

Diharap pelaburan KWSP ke pasaran antarabangsa tidak berada dalam situasi yang berisiko.

Tanpa Nama berkata...

wang KWSP adalah wang pekerja dan ia kena dijaga dgn baik.

Sanih Alias berkata...

Namun KWSP perlu menguruskan simpanan pekerja ini sebaiknya. Jangan gunakan kearah yang berisiko tinggi.