Jumaat, 6 April 2012

Kerajaan Selangor Peruntuk RM5 Juta Untuk Program Tebatan Banjir Di Klang

MSTAR ONLINE

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor meluluskan peruntukan segera RM5 juta bagi program tebatan banjir di bandar Klang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata usaha itu perlu dengan mengambil kira banjir kilat yang melanda Klang pada 30 Mac di Kampung Delek, Telok Gadong, sebahagian Pandamaran, Kota Alam Shah, Selat Klang dan Taman Seri Andalas.

"Penyelidikan dan kajian dijalankan pihak-pihak berkaitan mengenai banjir yang berlaku di Klang dan kita perlu utamakan kawasan-kawasan yang perlu dimasukkan dalam program tebatan banjir itu.

"Negeri ini mendapati bahawa lebih daripada RM20 juta diperlukan bagi tebatan banjir di Klang sahaja dalam usaha mengurangkan kemungkinan banjir dan RM5 juta itu adalah peruntukan awal.

"Kita jangka tebatan banjir akan dijalankan minggu depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini, Khamis.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM3 juta bagi membantu 2,500 keluarga mangsa banjir dengan setiap isi rumah mendapat RM500. - BERNAMA

Tiada ulasan: