KUALA LUMPUR : Tindakan Speker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang enggan memberi ruang kepada MP Pakatan Rakyat bagi membahaskan usul kenyata minoriti PSC disifatkan sebagai angkuh dan tunduk kepada tuntutan Umno-Barisan Nasional (BN) semata-mata.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Speaker enggan mengesahkan kenyata minoriti tersebut kerana ia menjelaskan isu pokok berhubung kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membersihkan senarai daftar pemilih yang sah.
Menurutnya, Speaker tidak mahu melayan perbahasan tersebut sedangkan beliau (Speaker) mencabar ahli Parlimen Pakatan sebanyak tiga kali untuk mengemukakan amalan berhubung alasan amalan ini.
“Daripada awal sidang, ketiga-tiga ahli jawatankuasa yang mewakili Pakatan Rakyat menegaskan keperluan mengemukakan laporan minoriti.
“Speaker menolak dengan alasan tidak pernah ada amalan dalam negara Komanwel berhubung perkara berkenaan.
“Speaker baca amalan di New Zealand, tetapi dia hanya baca separuh, tidak lengkap. Sedangkan negara-negara seperti Australia, New Zealand, United Kingdom dan Jamaica membenarkan amalan ini.
“Bila beberapa ahli Parlimen bangkitkan isu amalan ini, dia tidak hadir, dia masuk terus gantung (ahli Parlimen),” katanya di dalam sidang media di lobi Parlimen.
Anggota PSC Pakatan pagi tadi memohon satu Laporan Minoriti dimasukkan dalam laporan akhir PSC untuk mengetengahkan lima perkara yang tidak selesai.
Usul itu dikemukakan oleh MP Gombak, Azmin Ali, MP Rasah Loke Siew Fook dan MP Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.
Walaubagaimanapun, usul mereka ditolak oleh Pandikar Amin dan apabila tiga MP Pakatan enggan mematuhi arahan beliau, ke-tiga-tiga MP itu diarahkan keluar.
Meraka adalah Azmin, MP Subang, R.Sivarasa dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.
MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Speaker dilihat enggan menerima pandangan yang dikemukakan ahli Parlimen Pakatan berhubung amalan tersebut, sedangkan beliau sendiri meminta mereka berbuat demikian.
“Bagi saya, Speaker akan dilihat lebih berjiwa besar sekiranya dia boleh memperbetulkan kesilapan apabila kita telah mengemukakan hujah yang cukup konkrit.”
Mahfuz berkata, ia adalah sesuatu yang memalukan apabila laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC) ini diterima dalam keadaan yang jelas membuktikan terdapat banyak lagi kepincangan dalam sistem pilihanraya.
Kenyataan itu turut dipersetujui Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan kejadian sedemikian rupa adalah insiden paling memalukan dalam sejarah 53 tahun Parlimen di Malaysia.
Menurutnya, Speaker dilihat gagal mengawal dewan sehingga berlaku kekecohan dan huru-hara dalam Parlimen.
“Kejadian yang berlaku hari ini jelas menunjukkan Speaker telah melakukan kesilapan, bersikap berat sebelah dan tidak rela memperbetulkan kesilapan beliau.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan