KAJANG – Tembelang satu sindiket yang menyewa enam buah banglo mewah dua tingkat di kawasan Country Heights di sini untuk menempatkan seramai 144 anggotanya bagi melakukan penipuan dan judi bola sepak Internet sebanyak RM4 bilion sejak sebulan lalu terbongkar apabila diserbu semalam.
Serbuan pukul 1.30 petang itu dapat menahan 54 wanita dan 90 lelaki pelbagai warganegara asing seperti China dan Taiwan berusia lingkungan 20 dan 30-an yang ditugaskan untuk membuat panggilan rambang bagi tujuan penipuan kad kredit.
Ketika serbuan itu, seorang wanita patah kaki kiri dan seorang lelaki patah tangan kiri apabila mereka bertindak terjun dari tingkat dua banglo tersebut.
Difahamkan, anggota sindiket tersebut tidak keluar rumah dan segala keperluan mereka termasuk makanan akan dibeli oleh seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai runner. Lelaki itu turut dicekup.
Tinjauan Kosmo! mendapati, jarak antara banglo tersebut kira-kira dua kilometer dan pintunya sentiasa ditutup.
Susunan perabot di dalam banglo itu pula tidak ubah seperti pejabat di mana ruang tamu di tingkat atas dan tingkat bawah dilengkapi meja, telefon serta kertas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan