Rabu, 25 April 2012

Kakitangan IT PAS Kelantan cedera disamun

Harakahdaily,

KOTA BHARU: Seorang kakitangan Unit IT PAS Kelantan cedera di kedua-dua belah lengan akibat disamun dua lelaki bermotosikal menggunakan senjata besi malam tadi.

Pengarahnya, Mohd Ruslan Muhd Zain berkata, ketika kejadian tiga pegawai wanita terbabit sedang menunggu kunci untuk menaiki pejabat IT PAS Kelantan di Jalan Kota Darulnaim.

“Bagaimanapun ketika menunggu dua lelaki datang dengan menaiki motosikal dan terus menyamun mangsa di hadapan bangunan tersebut.

“Ekoran itu berlaku pergelutan namun penyamun sempat melarikan sebuah beg dipegang kakitangan berkenaan yang mengandungi telefon bimbit dan wang tunai,” katanya di sini.

Ekoran itu beliau membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu sejurus selepas kejadian.

Menurutnya mangsa mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan menerima beberapa jahitan.

Dan hari ini pula dilakukan pemeriksaan x-ray dan didapati tidak berlaku keretakan tulang dan sebarang kecederaan serius.

Kata beliau juga di tempat kejadian pernah berlaku kejadian samun yang membabit seorang wanita tua.

Sehubungan itu beliau berharap pihak polis melakukan kawalan lebih kerap ke kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Tiada ulasan: