Selasa, 10 April 2012

Isu Task Force Beri Warganegara Percuma; Mana Media, NGO Patriotik?

Editor Bueletin

KUALA TERENGGANU - PAS mengingatkan seluruh rakyat di negara ini bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan kian melakukan khianat terhadap masa depan ugama , bangsa, negara dan menggadaikan tanah air kepada warga asing.

Ketua Penerangan PAS Dato’ Ustaz tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan kerajaan memekakkan telinga terhadap pendedahan berani Naib Presiden PAS, Dato' Hj Mahfuz Omar akan menjadi suatu malapetaka kepada negara.

Menurutnya, Mahfuz pada minggu lalu mendedahkan ‘task force’ tersebut diketuai oleh pegawai khas kepada Perdana Menteri yang bertindak memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada warga asing demi menyelamatkan kerajaan BN dalam pilihanraya akan datang.

Tuan Ibrahim menyatakan demikian dalam satu kenyataan media yang diedarkan kepada Buletinonline pagi ini, Selasa 10 April.

Katanya, tindakan terdesak kerajaan Umno/BN jauh lebih besar bahaya berbanding semua penyelewengan dana negara, kerana memberi kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan kepada warga asing bermakna menggadai kedaulatan dan masa depan negara.

“Apa erti kuasa politik seandainya keputusan politik ditentukan oleh warga asing yang diberi kad pengenalan sehingga mereka mendapat hak yang sama dengan bumiputera dalam negara ini?

“Tindakan melampau ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pengamal media, sehingga tiada satu pun media arus perdana yang mengangkat isu ini,”katanya menurut kenyataan tersebut
Bahkan, menurut beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, apa yang lebih mendukacitakan badan-badan NGO yang selama ini bertempik mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan tanahair sunyi sepi seolah-olah isu ini hanya rekaan pembangkang.

“Seandainya ia suatu rekaan, tentulah Mahfuz tidak berani untuk menyenaraikan satu persatu nama yang terlibat kerana ia terdedah kepada tindakan perundangan seperti saman, siasatan dan tindakan undang-undang.

“Kesediaan beliau untuk memberi segala maklumat kepada Suruhanjaya Diraja, merupakan tindakan berani bagi mendedahkan isu besar ini,”tambahnya

Sehubungan itu, PAS akan terus mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi meneliti dan membuat siasatan rapi berhubung dakwaan ini. Kegagalan kerajaan membentuk suruhanjaya ini dilihat sebagai bukti jelas kebenaran apa yang didakwakan oleh ahli parlimen Pokok Sena.

Tiada ulasan: